Tangguh kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh: MTUC

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan 500,000 pekerja asing yang di jangka tiba mulai bulan ini. - Foto hiasan
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan 500,000 pekerja asing yang di jangka tiba mulai bulan ini. - Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menangguhkan kemasukan 500,000 pekerja asing yang di jangka tiba mulai bulan ini, sebaliknya menjalankan kajian impak ke atas pekerja tempatan.

Setiausaha Agung MTUC, Kamal Baharin Mansor berkata, kerajaan sepatutnya mengambil kesempatan dalam tempoh pandemik Covid-19 selama dua tahun untuk membuat kajian yang teliti terhadap persediaan pekerja tempatan dalam menggantikan pekerja asing.

Menurutnya, kemasukan sejumlah besar pekerja asing itu akan menyebabkan aktiviti buruh paksa tidak dapat di kawal dan memberi kesan kepada ekonomi Malaysia sehingga ada penutupan operasi syarikat dan menyebabkan pekerja tempatan kehilangan pekerjaan.

"MTUC telah memberikan pandangan semasa sesi libat urus berhubung keperluan penggajian pekerja asing pada 27 September 2021 dengan menyatakan bahawa kemasukan pekerja asing di uruskan secara 'G to G' dan juga bidang pekerjaan yang spesifik kepada pekerja asing.

"Selepas 7 tahun berlalu, kerajaan masih lagi gagal menarik minat pekerja tempatan dan gagal menangani isu kekurangan pekerja atau sememangnya kemaruk majikan terhadap pekerja asing bagi memudahkan eksploitasi pekerja asing sehingga Malaysia di kategorikan sebagai negara buruh paksa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau menambah, penambahan pekerja asing juga akan menyebabkan penambahan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang tujuan membuat pemeriksaan terhadap premis yang mengajikan pekerja asing.

Justeru beliau mempersoalkan, sama ada kerajaan telah menambah pegawai JTK bagi persediaan kemasukan 500,000 pekerja asing tersebut.

"Adakah bilangan pegawai JTK mencukupi pada masa sekarang? MTUC di maklumkan antara sebab buruh paksa berlaku kerana kegagalan pemeriksaan secara berkala di buat kerana kekurangan pegawai pemeriksa di premis yang hanya berjumlah 400 orang sahaja,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan Malaysia dijangka menerima kemasukan 500,000 pekerja asing Bangladesh mulai bulan ini.

Ia susulan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Malaysia dan Bangladesh pada Disember lalu berhubung pengambilan pekerja negara itu untuk berkhidmat di negara ini berkuat kuasa lima tahun hingga Disember 2026.