PRU15: Solidariti GRS-BN dibentuk elak pertembungan kerusi

Hajiji (dua dari kanan) bersama Maximus (dua dari kiri) dalam sidang akhbar pada mesyuarat Majlis Ahli Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Isnin.
Hajiji (dua dari kanan) bersama Maximus (dua dari kiri) dalam sidang akhbar pada mesyuarat Majlis Ahli Tertinggi GRS di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Satu jawatankuasa kerjasama solidariti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) dibentuk bertujuan mengelak daripada berlaku pertembungan dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi GRS pada Isnin.

"Ini satu jawatankuasa kerjasama atau solidariti GRS-BN, kita tahu bahawa kerajaan negeri (adalah gabungan daripada) kerajaan GRS dan kerajaan BN.

"Tujuannya untuk menyatukan parti-parti bukan saja dalam GRS tetapi dengan BN supaya kita menghadapi pilihan raya Parlimen ini bersama-sama.

"Kalau boleh tidak ada pertembungan di antara GRS dan BN. Inilah tujuan utamanya," katanya ketika sidang akhbar selepas mesyuarat itu di Menara Kinabalu.

Hajiji yang juga Ketua Menteri Sabah turut memaklumkan bahawa dalam mesyuarat itu mereka bersetuju melantik jawatankuasa pengerusi dan jawatankuasa penyelaras di setiap bahagian di Parlimen di negeri ini.

Ketika diminta mengulas lanjut berhubung hala tuju Perikatan Nasional (PN), Hajiji memaklumkan ketika ini pihaknya lebih menumpukan kepada GRS.

Malah beliau menegaskan bahawa hubungan antara parti dalam GRS ketika ini dalam keadaan baik.

Sementara itu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, pihaknya sentiasa bersama anggota GRS untuk duduk berbincang bersama-sama.

"Kita akan setia kepada Pengerusi dan GRS, kita akan pastikan kita menang sebanyak mana kerusi untuk Parlimen di Sabah," katanya.