Isu harga ikan tinggi, nelayan ditindas dibawa ke Kabinet

Saifuddin Nasution (dua,kanan) melawat ruang gerai pameran pada Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (dua,kanan) melawat ruang gerai pameran pada Pelancaran Program Citarasa Malaysia di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu peningkatan harga ikan sedang nelayan tidak mendapat bayaran setimpal untuk hasil tangkapan mereka, akan dibawa untuk perbincangan Kabinet di Langkawi pada Jumaat ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet itu akan berusaha mencari jalan mengatasi isu berkenaan.

Menteri itu mengulas laporan mengenai peningkatan harga ikan ekoran rantaian bekalan panjang dengan keuntungan dikaut oleh pendatang asing yang menjual ikan di pasar borong, sedangkan nasib nelayan tidak berubah.

Saifuddin berkata selain kementeriannya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu bekerjasama dalam usaha mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dihadapi nelayan.

Isu yang turut melibatkan aspek 'penindasan' (ke atas nelayan) dan amalan kumpulan tertentu mengawal wilayah dalam pasar borong itu tidak akan selesai melalui tindakan oleh satu kementerian dari sudut penguatkuasaan kawalan harga sahaja, katanya.

"Tindakan berupa kerjasama erat pelbagai kementerian perlu dan jika dilakukan, ia mestilah konsisten dan tidak bermusim," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Citarasa Malaysia - Hari Bersama Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di sini hari ini.

Mengenai program tersebut, Saifuddin berkata kementeriannya melalui Bahagian Pembangunan Perniagaan telah merancang 14 aktiviti siri jelajah ke seluruh negara bagi mempromosi produk buatan Malaysia dengan lebih agresif.

Beliau berkata usaha mempromosi produk buatan Malaysia itu akan digerakkan melalui peruntukan sebanyak RM20 juta yang disediakan kerajaan dengan matlamat antaranya penembusan produk-produk PKS ke pasar raya besar dapat ditingkatkan.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, sebanyak 1,762 pengusaha PKS tempatan dengan jenama dan produk masing-masing telah berdaftar dengan kementerian, di mana hampir 15 peratus daripadanya boleh didapati di pasar raya di seluruh negara, katanya. -Bernama