Malaysia, Turki bincang kerjasama perangi rasuah antarabangsa

Rais Yatim
Rais Yatim
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia dan Turki sedang membincangkan satu bentuk kerjasama dalam usaha memerangi jenayah rasuah di peringkat antarabangsa.

Perkara itu dibincangkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim melalui perbualan telefon bersama Speaker of the Grand National Assembly of Turkey, Tuan Yang Terutama Profesor Dr Mustafa Sentop pada Rabu.

Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, selain bertukar ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri, antara hal lain yang dibincangkan dalam perbualan pada jam 4 petang itu termasuklah penghargaan kepada Malaysia atas sumbangan dalam arena antarabangsa khasnya melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Selain itu, penghargaan juga diberikan kepada Malaysia atas peranannya dalam aspek kemanusiaan dan jati diri Asia yang tinggi.

“Pihak Turki berharap Malaysia memahami peranan Turki dalam isu keamanan khususnya melalui negara-negara Eropah, OIC dan ASEAN.

“Kedua-dua Dewan mencapai kata sepakat dalam perjuangan bersama untuk mencari penyelesaian kepada konflik antarabangsa,” katanya.

Menurut kenyataan itu, Yang Dipertua Dewan Negara turut dijemput menghadiri satu persidangan khas yang akan diadakan pada 21 hingga 23 Jun depan.

Dalam masa sama, Turki juga merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kerjasama melalui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam pendidikan tinggi Islam.