Penggunaan air terawat di Kedah meningkat 30 peratus

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Pelan Kontingensi Syarikat Air Darul Aman (SADA) dilaksanakan bagi mengatasi masalah bekalan air di kawasan kritikal, terutama di kawasan hujung saluran yang bertekanan rendah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, gangguan bekalan air tidak dapat dielakkan berikutan pertambahan penduduk kalangan perantau yang pulang berhari raya di kampung halaman menyebabkan kadar penggunaan air terawat meningkat.

Menurutnya, kadar penggunaan air terawat di Kedah meningkat sebanyak 30 peratus atau 250 MLD (juta liter sehari) pada musim perayaan ini, berbanding 780 MLD kadar penggunaan harian di luar musim perayaan.

"Bagi meringankan beban pengguna, SADA telah mengambil langkah Pelan Kontingensi dengan mewujudkan Pusat Khidmat Setempat (PKS) di 12 lokasi berisiko tinggi, bermula pada Isnin hingga Rabu.

"Sebuah lori tangki dan tangki statik ditempatkan di setiap PKS bagi menyelesaikan aduan penduduk setempat dalam jangka masa singkat," katanya dalam kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, PKS menerima aduan tertinggi dari PKS Ayer Hitam dan PKS Tanjung Dawai sepanjang tempoh operasi.

"Bilik Gerakan Ibu Pejabat (BGIP) turut diaktifkan bermula 8 pagi hingga 8 malam. Pengguna yang berdepan masalah ketiadaan air boleh hubungi talian 04-7408976.

"BGIP beroperasi sebagai sokongan kepada Bilk Gerakan Operasi Wilayah (BGOW). Pola penerimaan aduan meningkat sejak hari pertama hingga hari ketiga BGIP beroperasi dan majoriti aduan adalah berkenaan ketiadaan air dan tekanan air rendah," katanya.

Menurutnya lagi, penghantaran bantuan bekalan lori tangki telah digerakkan bagi memastikan kelangsungan bekalan air terawat kepada pengguna.

"Pusat Informasi SADA (SIC) telah beroperasi pada kapasiti penuh dalam usaha memaksimumkan penerimaan aduan daripada pengguna melalui talian 1300 88 0017.

"Kita pelbagaikan saluran aduan seperti pembukaan BGIP, BGOW serta penubuhan PKS dan ia membuahkan hasil, yang mana statistik menunjukkan penurunan data harian panggilan masuk ke SIC," katanya.

Muhammad Sanusi memberitahu, SADA telah menggerakkan 71 buah lori tangki berkapasiti rendah dengan anggaran kapasiti 800 hingga 1,200 gelen ke kawasan terjejas.

"Manakala tiga buah tangki jumbo dengan anggaran kapasiti 10,000 gelen turut digerakkan bagi membuat pengisian di tangki simpanan utama yang bertindak sebagai feeder kepada lori-lori tangki kecil," katanya.

Menurutnya lagi, sebanyak 280 buah tangki statik ditempatkan di seluruh kawasan terjejas di negeri ini termasuk 12 buah di setiap lokasi PKS bagi memudahkan pengguna mengambil bekalan air sementara menunggu bantuan lori tangki.

"Saya amat memahami masalah gangguan bekalan air yang dihadapi pengguna terutama pada musim perayaan.

"Masalah ini tidak dapat kita elak sehinggalah projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Pelubang, Kubang Pasu; Jenun Baru, Pendang; Sungai Limau, Baling; Bukit Selambau, Kuala Muda dan Lubuk Buntar Lama di Bandar Baharu siap dalam tempoh tiga tahun lagi," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, gangguan bekalan air masih berlarutan sehingga kini disebabkan kerajaan negeri terdahulu gagal menyegerakan projek naik taraf lima LRA berkenaan.

"Sementara menanti projek naik taraf LRA siap, kerajaan negeri dan SADA akan bekerja keras untuk mengatasi setiap masalah sebaik mungkin," katanya lagi.