LRA Sungai Semenyih rekod bacaan 0 ton

 LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi pada jam 3.30 petang Selasa. - Foto Bernama
LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi pada jam 3.30 petang Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Bacaan pencemaran bau yang direkodkan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih adalah 0 ton pada petang Selasa.

Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata, air sungai kembali normal apabila ujian bau merekodkan tiga kali bacaan 0 ton secara konsisten bermula jam 2.30 petang.

Sehubungan itu, katanya, LRA Sungai Semenyih mula beroperasi pada jam 3.30 petang Selasa.

"Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meningkatkan langkah-langkah mitigasi pencemaran," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Loy Sian berkata, sebelum ini Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan bau seakan diesel di kawasan Sungai Beranang semasa melakukan rondaan pada jam 2.30 pagi Selasa.

Jelas beliau, pensampelan LUAS pada pengesanan awal itu menunjukkan bacaan dua ton dan siasatan lanjut mendapati paras sungai yang tinggi serta aliran deras daripada hujan lebat menyebabkan pembendungan pencemaran sebelum ini di Sungai Kabul memasuki sungai.

"Pemantauan dan pensampelan statik LUAS dipertingkatkan kepada dua lokasi iaitu di Sungai Beranang termasuk Sungai Kabul dan Sungai Semenyih selepas pertemuan Sungai Beranang," ujar beliau.

Justeru, katanya, LUAS telah meletakkan tiga 'oil boom', 20 'oil pad' dan lima beg serbuk karbon teraktif (AC) di Sungai Kabul untuk meningkatkan pencegahan kepada pencemaran.

"Pihak premis terlibat sedang melakukan pembersihan 'sump pit' sepertimana prosedur yang ditetapkan dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengeluarkan notis penahanan operasi kepada premis berkuat kuasa daripada 1 Mei lalu," katanya.

Tegas beliau, LUAS juga mengeluarkan arahan kepada premis terlibat berdasarkan Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 untuk mengalihkan apa-apa bahan pencemar yang berpotensi mencemarkan aliran air sungai serta melaksanakan pembersihan segera agar pencemaran tidak berulang.

"Kerajaan negeri Selangor tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukan Enakmen LUAS 1999.

"Kerajaan negeri Selangor dan LUAS meminta kepada semua masyarakat prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera," katanya.