'Kenduri Dulu-dulu' gamit memori lama

Lauk dihidang menggunakan talam seperti dilakukan suatu ketika dahulu.
Lauk dihidang menggunakan talam seperti dilakukan suatu ketika dahulu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tradisi merewang iaitu aktiviti bergotong-royong di kampung menjadi satu kemeriahan dalam sesebuah majlis perkahwinan suatu ketika dahulu.

Bagaimanapun, aktiviti itu semakin hilang ditelan zaman memandangkan kini ramai penganjur lebih rela menggunakan khidmat katering dalam penyediaan makanan kenduri.

Bagi mengimbau kembali nostalgia lama selain pendedahan kepada generasi baharu, penduduk Taman Rhu dan Taman Sri Pinang, Sungai Petani, Kedah berganding bahu menganjurkan 'Kenduri Dulu-dulu' untuk meraikan dua pasangan raja sehari.

Penganjur Kenduri Dulu-dulu, Azizan Mat Isa berkata, pihaknya teruja memandangkan perancangan melaksanakan aktiviti itu yang dibincang sejak beberapa bulan lalu mendapat kerjasama penduduk tanpa mengira bangsa dan agama.

Menurutnya, kerja gotong-royong dimulakan lebih awal bagi menghias lokasi majlis perkahwinan menggunakan pelepah kelapa di laluan masuk yang dijadikan pintu gerbang.

Lauk diisi dalam mangkuk lama dan disusun dalam talam untuk dihidang kepada tetamu.
Lauk diisi dalam mangkuk lama dan disusun dalam talam untuk dihidang kepada tetamu.

"Kami juga mengumpul pinggan kaca lama dan dulang besar yang masih dalam simpanan untuk dicuci dan dilap bagi untuk hidang makanan semasa majlis perkahwinan," katanya.

Menurut Azizan, golongan lelaki dan wanita sama-sama menyumbang tenaga bagi merancakkan majlis perkahwinan meraikan dua pasangan pengantin di kejiranan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kaum wanita juga sibuk menyiapkan cenderahati untuk tetamu bawa pulang.

"Kuih tradisional dibungkus dan dihidang antaranya bahulu, bubur asyura, kuih bangkit dan putu kacang.

"Telur rebus pula dibungkus dalam surat khabar lama dan tisu seperti yang dilakukan nenek moyang dahulu," katanya.

Kemeriahan turut dirasai apabila penduduk mula menyiapkan bunga telur menggunakan tisu warna merah jambu yang direka menjadi kelopak bunga.

"Penghasilan bunga telur dianggap nostalgia kerana tidak lagi menjadi keutamaan dalam majlis perkahwinan ketika ini.

"Bunga telur yang telah siap akan dicucuk pada batang pisang dikenali sebagai bunga pahar dan diletakkan sebagai hiasan di pelamin.

"Setiap kali tetamu datang tepung tawar pengantin, akan diberikan bunga telur sebagai buah tangan," katanya.

Pengantin lelaki, Muhd Mubasyir Marzuki, 26, meluahkan rasa terharu apabila diraikan dengan penuh kemeriahan oleh penduduk dan jemputan yang hadir.

Dua pasangan pengantin diraikan dalam 'Kenduri Dulu-dulu' di Taman Rhu, Sungai Petani.
Dua pasangan pengantin diraikan dalam 'Kenduri Dulu-dulu' di Taman Rhu, Sungai Petani.

"Cukup berlainan apabila segalanya mengingatkan tentang kisah dulu, seolah-olah berada di zaman 60-an di mana pengantin diarak bersama ahli keluarga dan saudara terdekat dan dibawa ke pelamin dengan iringan kompang," katanya.

Bapanya, Marzuki Lazim, 53, berkata, kerjasama semua pihak amat dihargai dalam menjayakan 'Kenduri Dulu-dulu' di taman tersebut.

Menurutnya, kenangan lalu bersama orang tua terkenang kembali kerana kini tiada lagi penganjuran seumpama itu yang menampilkan adat resam dan budaya masyarakat Melayu.

"Kalau diimbau zaman dulu memang seronok kenduri-kendara selalunya melibatkan penglibatan penduduk kampung bergotong-royong, masak ramai-ramai dan semuanya diraikan.

Pasangan pengantin diarak sambil diiringi pasukan kompang.
Pasangan pengantin diarak sambil diiringi pasukan kompang.

"Saya gembira dengan bantuan rakan-rakan, hasrat penduduk nak bawakan kembali suasana 'Kenduri Dulu-dulu' untuk tatapan generasi muda khususnya anak cucu sekarang, terlaksana," katanya.

Bagi mewujudkan era 60-an, tetamu datang dengan memakai kain batik atau kain pelekat yang dijadikan hiasan selendang (wanita) atau diikat pada kepala (lelaki).

Kain batik atau pelekat dijadikan hiasan selendang.
Kain batik atau pelekat dijadikan hiasan selendang.

Tetamu juga datang membawa mangkuk tingkat berisi kuih atau makanan ringan untuk diberikan kepada tuan rumah.

Mangkuk tingkat kemudian ditinggalkan di satu sudut sebelum tetamu menjamu selera.

Selepas selesai, mangkuk tingkat yang telah siap diisi nasi kenduri sebagai balasan dan tanda terima kasih dari tuan rumah, dibawa pulang.

Dalam perkembangan sama, Azizan berkata, sumbangan tenaga, bantuan kewangan dan masa dikorbankan penduduk demi merealisasikan 'Kenduri Dulu-dulu'.

"Tiada apa yang lebih berharga melainkan sikap muafakat, perpaduan, tolong-menolong dan toleransi antara penduduk yang sukar diperoleh masa kini," katanya.

Urusetia menerima mangkuk tingkat dan menukar makanan untuk tetamu bawa pulang.
Urusetia menerima mangkuk tingkat dan menukar makanan untuk tetamu bawa pulang.

Difahamkan, kedua-dua pasangan pengantin telah melangsungkan pernikahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu namun tidak dapat menganjurkan majlis kenduri akibat Covid-19.

"Kita bukan sahaja sekadar suka-suka menjalinkan muafakat namun sebenarnya ia telah memberi pengalaman manis kepada pasangan pengantin dan penduduk untuk dikenang hingga ke anak cucu.

"Kami berpuas hati dapat menggembirakan lebih ramai orang malah memeriahkan hari bahagia pasangan mempelai," katanya.