JPVNS perlu tegas tangani isu ladang babi tidak berlesen: MB

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) bertindak lebih tegas dalam menangani isu ladang babi tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson.

Beliau berkata, laporan segera perlu dilakukan sekiranya JPVNS mendapati terdapat aktiviti penyembelihan atau membawa keluar haiwan ternakan itu dari ladang terbabit kerana ia dikhuatiri dijangkiti Deman Afrika Selatan (ASF).

"JPVNS harus maklum dan memandang serius terhadap isu ini dan mengambil tindakan segera kerana dikhuatiri jika dibiarkan virus ini boleh merebak dan menjangkiti ternakan di kawasan lain.

"Kita harus mengambil ikhtibar daripada virus Nipah yang berlaku pada sekitar 1999. Masyarakat di sana juga khuatir jika virus ini berulang lagi kerana ia memberi kesan sangat buruk kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Bantuan Kewangan Khas (BKK) Aidilfitri kepada Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anggota perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat di Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan pada Jumaat

Pada Khamis, media tempatan melaporkan masih terdapat aktiviti penyembelihan babi dijalankan di ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson walaupun berlaku kes ASF sebelum ini.

Menurut laporan itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara mengejut ke lokasi berkenaan dua hari lepas dan mendapati ada berlaku aktiviti penyembelihan babi di ladang tersebut.

Pada 24 April, Bakri memaklumkan 2,000 ekor babi yang ditempatkan di 19 buah ladang berhampiran ladang babi dikesan dijangkiti ASF, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang.

Sementara itu, program pada Jumaat kerajaan negeri memperuntukkan RM468,300 diberikan kepada 885 penjawat awam berjumlah RM500 hingga RM1,000 setiap seorang.

Sebanyak 723 pegawai Persekutuan daripada Jabatan Pertanian, Jabatan Kehakiman Syariah, Jabatan Perhutanan, Jabatan Pengairan dan Saliran, JPVNS, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Pejabat Pengarah Tanah dan Galian menerima RM500 seorang.

Seramai 138 ahli Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah pula menerima RM600 seorang manakala 24 ahli Majlis Bandaraya Seremban (RM1,000 seorang).

Katanya, insentif tersebut diharapkan dapat menyuntik semangat dan komitmen kerja yang lebih tinggi dalam kalangan semua Ahli Majlis dalam melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. - Bernama