Warga emas sendirian sambut lebaran

Rubadi tinggal sendirian di Kampung Tebuk Rukun, Sabak Bernam.
Rubadi tinggal sendirian di Kampung Tebuk Rukun, Sabak Bernam.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang warga emas hidup dalam serba kekurangan di sebuah rumah usang di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tebuk Rukun, Parit Baru Baroh di sini.

Rubadi Abas, 84, berkata, sambutan perayaan Aidilfitri sejak lebih 20 tahun lalu seolah-olah tiada erti buat dirinya yang hidup bersendirian.

“Memang sunyi hidup seorang diri di rumah ini tetapi apa boleh buat sudah takdir saya menjalani hidup keseorangan tanpa keluarga di sisi.

“Jauh di sudut hati, saya teringin merasai kegembiraan berhari raya, tetapi semua itu tinggal kenangan kerana keupayaan terbatas,” katanya.

Rubadi berkata, kehidupannya mula berubah setelah berpisah dengan bekas isteri lebih 40 tahun lalu.

Menurut Rubadi, hanya rumah itu sahaja menjadi tempat dia berteduh meskipun strukturnya dalam keadaan daif.

Katanya, kebanyakan masanya dihabiskan di atas katil dan terpaksa menadah air kencing menggunakan timba.

“Rumah saya ini dipenuhi bau hancing kerana tidak berdaya hendak kencing di tandas. Saya hanya mampu mengesot jika hendak buang air besar.

“Inilah rutin saya setiap hari sambil berharap ada jiran atau saudara-mara menghantar makanan,” ujarnya.

Katanya, pada masa ini, dia hanya bergantung hidup dengan bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi perbelanjaan bulanan.