Masih ada aktiviti sembelih babi ketika lawatan mengejut: Exco

Bakri (dua kiri) ketika meninjau kediaman salah seorang penduduk yang terjejas akibat masalah lalat.
Bakri (dua kiri) ketika meninjau kediaman salah seorang penduduk yang terjejas akibat masalah lalat.
A
A
A

JELEBU - Masih ada aktiviti penyembelihan babi dijalankan di ladang tidak berlesen di Kampung Baru Tanah Merah Site A, Port Dickson walaupun berlaku kes Demam Babi Afrika (ASF) sebelum ini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, pihaknya melakukan lawatan secara mengejut ke lokasi berkenaan pada dua hari lepas dan mendapati ada berlaku aktiviti penyembelihan babi di ladang tersebut.

"Jadi sebab itu saya minta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) segerakan membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Ada pihak nak buat 'hide and seek' dengan penjawat awam. Tak cantiklah...kena la ada integriti dan bersikap jujur," katanya kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan di sebuah ladang ayam di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Bakri turut menasihatkan kepada pihak berkaitan agar tidak mengambil undang-undang sendiri susulan difahamkan berlaku unsur menghalang tugas penjawat awam ketika melakukan pemeriksaan.

"Kita ada undang-undang dan kawasan itu tiada lesen untuk menternak babi dan saya akan ambil tindakan bersesuaian dengan undang-undang yang ada.

"Saya juga meminta orang awam supaya berhati-hati selain melaporkan kepada JPVNS dan pihak berkuasa di negeri ini jika terdapat mana-mana pihak yang cuba menjual babi pada harga lebih murah," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kira-kira 2,000 ekor babi yang ditempatkan berhampiran dengan ladang yang dikesan dijangkiti penyakit ASF di kampung berkenaan, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Sementara itu, mengulas mengenai ladang ayam yang dilawatinya pada Khamis, Bakri berkata, pihaknya telah menggantung lesen operasi ladang ayam berhampiran sebuah kawasan Felda di sini pada 22 April lepas susulan dipercayai menjadi punca serangan lalat di kawasan berhampiran.

"Kita menerima aduan isu lalat berkenaan pada 18 April lalu dan lesen operasi ladang tersebut telah digantung.

"Dengan itu, saya minta kepada pihak terbabit untuk selewat-lewatnya menangani masalah lalat itu sehingga Ahad ini susulan sambutan Aidilfitri akan disambut pada minggu depan," katanya.

Beliau berkata, jika keadaan sudah reda dan berjaya ditangani lesen berkenaan boleh diperolehi semula daripada pihak veterinar.