Polis fokus kesalahan trafik, pencegahan jenayah

Mohamad Fakhrudin beramah mesra dengan pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol PJS Lebuh Raya Pantai Baru pada Khamis.
Mohamad Fakhrudin beramah mesra dengan pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol PJS Lebuh Raya Pantai Baru pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - Seramai 264 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang pelaksanaan Op Selamat dan Op Bersepadu Cegah Jenayah di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, penguatkuasaan dan pemantauan bukan sahaja diberikan penumpuan di jalan raya bagi kesalahan lalu lintas, malah turut diperluaskan dari segi pencegahan jenayah.

Menurutnya, seramai 80 pegawai dan anggota polis trafik akan ditugaskan untuk membuat rondaan serta pemantauan bagi menurunkan jumlah kemalangan sepanjang Op Selamat ini.

"Antara kesalahan yang diberikan tumpuan melibatkan pemanduan melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol PJS Lebuh Raya Pantai Baru di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid beramah mesra bersama pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol PJS Lebuh Raya Pantai Baru di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid beramah mesra bersama pengguna jalan raya ketika Majlis Pelancaran Op Selamat di Plaza Tol PJS Lebuh Raya Pantai Baru di sini pada Khamis.

Mohamad Fakhrudin berkata, seramai 184 pegawai dan anggota polis yang akan ditugaskan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah.

"Pemantauan akan dipertingkatkan lagi menerusi rondaan cegah jenayah di kawasan komuniti melibatkan Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota-anggota di balai polis.

"Secara tidak langsung ia bagi memastikan keadaan di kawasan Petaling Jaya ini selamat ketika mana masyarakat pulang ke kampung," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kadar jenayah, Mohamad Fakhrudin berkata, jenayah melibatkan curi motosikal dan pecah rumah mencatatkan kadar tertinggi di kawasan Petaling Jaya.

"Kedua-dua kes ini menyumbang 68 peratus daripada keseluruhan kes jenayah di bawah pentadbiran IPD Petaling Jaya.

"Kadar ini dicatatkan dalam tempoh empat bulan pertama pada tahun ini," katanya.