Ramadan hidupkan beca LED di Kuala Terengganu

Dua pengunjung menaiki beca LED Muhammad Ramadan di Taman Awam Batu Buruk.
Dua pengunjung menaiki beca LED Muhammad Ramadan di Taman Awam Batu Buruk.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lazimnya beca yang dipasang lampu mentol diod pemancar cahaya (LED) dilihat di Melaka, namun situasi itu kini dapat disaksikan di beberapa lokasi tumpuan awam di daerah ini sejak awal Ramadan lalu.

Dua buah beca milik Muhammad Ramadan Zulkarnain, 20, bersama bapanya, Zulkarnain Mohamad, 58, mula beroperasi sejak dua minggu lalu.

Menurut Muhammad Ramadan, beca bertemakan watak kartun Hello Kitty dan salah satu watak daripada drama bersiri Korea Selatan, Squid Game ditempah khas daripada pembuat beca di Melaka dengan kos RM10,000 setiap satu.

"Buat masa sekarang agak sukar untuk dapatkan beca kerana tidak ramai yang sanggup menjualnya kerana ia merupakan barangan antik. Sebab itulah ramai pemilik beca yang ingin menyimpannya sebagai koleksi.

"Secara kebetulan rakan bapa di Melaka memberitahu ada beca yang sedia dijual dan boleh diubah suai kepada wajah baharu," katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Pantai Batu Buruk di sini.

Muhammad Ramadan bersama beca LED yang digunakan untuk perkhidmatan membawa pelancong dan pengunjung bersiar-siar melalui kawasan rekreasi di Kuala Terengganu.
Muhammad Ramadan bersama beca LED yang digunakan untuk perkhidmatan membawa pelancong dan pengunjung bersiar-siar melalui kawasan rekreasi di Kuala Terengganu.

Muhammad Ramadan berkata, beca tersebut diubah suai daripada beca terpakai supaya lebih menarik dan menonjol terutama pada waktu malam.

"Tempahan beca disiapkan dalam tempoh sebulan. Semua yang ada pada beca ini menggunakan barangan baharu kecuali 'body' diambil daripada beca 'second hand'.

"Beca ini mempunyai dua fungsi iaitu boleh dikayuh dan mempunyai motor yang saya ubah suai sendiri dengan kos RM3,000. Baterinya pula perlu dicas setiap tiga jam,"katanya.

Menurut Muhammad Ramadan, perkhidmatan beca yang diusahakan itu mengenakan bayaran RM30 untuk sekali pusingan di kawasan sekitar Dataran Drawbridge, Dataran Shahbandar dan Taman Awam Batu Buruk.

Katanya, beca tersebut beroperasi jam 8 atau 9 malam sehingga jam 12 hingga 12.30 tengah malam bergantung kepada permintaan.

Bercerita mengenai persaingan dan sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan itu, Muhammad Ramadan berkata, dia yakin mampu memberikan kelainan terhadap fungsi kenderaan tradisional itu.

"Saya percaya mampu mempelbagaikan lagi fungsi beca di sini di mana ia bukan hanya digunakan sebagai alat pengangkutan namun turut boleh mempromosikan Terengganu kepada pengunjung luar.

"Setakat ini promosi dijalankan melalui media sosial. Jika dapat sambutan hangat kita akan pelbagaikan lagi beca dengan bertemakan watak adiwira seperti Spiderman dan kartun kegemaran kanak-kanak, Doraemon," katanya.