Rakyat Malaysia wajib tahu khasiat minyak sawit

Teresa Kok
Teresa Kok
A
A
A
KUALA LUMPUR - Menteri Industri Utama, Teresa Kok hari ini menjelaskan maksud pesanan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta rakyat Malaysia agar meminum sesudu minyak sawit sehari.

Teresa memberitahu bahawa Perdana Menteri menyeru rakyat Malaysia menjadi duta kepada produk minyak sawit negara terutamanya minyak sawit dara atau virgin yang sangat kaya dengan kandungan vitamin E.

"Sebenarnya kita ada minyak sawit dara atau minyak sawit merah yang sangat bagus untuk menambah baik penglihatan kita.

"Memang ada penyelidikan dibuat oleh pakar nutrisi di China berkenaan minyak sawit merah yang dapat membantu meningkatkan lagi penglihatan terutamanya kanak-kanak. Jadi apabila Perdana Menteri kata kena minum satu sudu setiap hari merujuk kepada minyak sawit merah atau dara," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Seputeh itu juga menambah, beliau juga ada memberikan produk minyak sawit merah kepada Duta China ke Malaysia, Bai Tian dan kini diamalkannya setiap pagi.

Dengan nada berseloroh, Teresa berkata, sejak mengetahui khasiat ekstrak minyak sawit tersebut beliau sendiri juga meminumnya sehari sesudu dan kini berasa lebih muda.

"Jadi kempen Sayangi Sawitku sebenarnya untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada warga Malaysia tentang produk lima bintang kita itu kelapa sawit dan juga jadi duta kepada minyak sawit.

"Kita menghadapi kempen anti sawit di Eropah ini kerana salah faham, mereka kurang maklumat tentang kebaikan dan khasiat minyak sawit kerana kita rakyat Malaysia pun tak tahu juga.

"Sebab itu kita lakukan kempen ini secara serius dengan kerjasama banyak agensi dan juga pihak swasta, kita nak kongsi khasiat produk hiliran minyak sawit kita," katanya.

Artikel Berkaitan: