Anak perantau mula pulang ke kampung

Mohd Amirul (kanan) bersama isteri dan anaknya sebelum menaiki bas di TBS pada Selasa untuk pulang ke kampungnya di Tasek Gelugor.
Mohd Amirul (kanan) bersama isteri dan anaknya sebelum menaiki bas di TBS pada Selasa untuk pulang ke kampungnya di Tasek Gelugor.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Setelah dua tahun tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga, umat Islam akhirnya dapat kembali menunaikan tradisi yang sekian lama dilakukan setiap kali tibanya bulan Syawal.

Kesempatan itu tentunya merupakan suatu kegembiraan khususnya kepada perantau yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana menetap dan bekerja di negeri lain.

Tinjauan Sinar Harian di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di sini, menyaksikan ramai perantau yang sudah memulakan perjalanan untuk pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Syawal.

Seorang suri rumah yang menetap di Tawau, Sabah, Nurul Hidayu Mohamad, 29, berkata, kepulangan pada Aidilfitri kali ini amat bermakna buatnya yang sudah dua tahun tidak pulang beraya di kampung di Pasir Putih, Kelantan kerana pandemik Covid-19.

Nurul Hidayu
Nurul Hidayu

“Walaupun tak dapat bersama suami yang terpaksa bertugas (sebagai tentera), tapi semangat untuk raya tahun ini memang lain sikit sebab dah dua kali raya sebelum ini kita tak dapat balik.

“Anak-anak pun sangat gembira sebab dapat pulang ke kampung,” katanya.

Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, sebelum pandemik, dia yang sudah tinggal di Tawau selama sembilan tahun sememangnya tidak pernah terlepas untuk pulang ke kampung setiap kali tiba musim perayaan.

Sementara itu, seorang tentera yang bertugas di Sandakan, Sabah, Mohd Amirul Alif Said, 30, berkata, dia sangat menantikan saat untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung selepas tujuh tahun terpaksa menjalankan tugas ketika hari raya.

Selamat
Selamat

Dia yang telah bertugas selama 10 tahun di perantauan itu berkata, isterinya yang berasal dari Baling, Kedah juga sudah tiga tahun tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersama keluarga ekoran Covid-19.

“Perasaan beraya bersama-sama keluarga tentunya sangat berlainan berbanding beraya bersama rakan seperjuangan di lokasi tugasan.

“Jadi apabila kerajaan umumkan orang ramai boleh balik beraya pada tahun ini, saya memang sangat menantikan waktu ini,” ujarnya yang akan pulang ke Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Dalam pada itu, seorang jurutera mekanikal yang bertugas di Bintulu, Sarawak, Mohamad Afiq Mohamad, 27, berkata, dia telah menyusun jadual cuti kerjanya untuk membolehkannya menyambut Aidilfitri tahun ini bersama keluarga di Kemaman, Terengganu.

Mohamad Afiq
Mohamad Afiq

“Saya terpaksa bekerja semasa hari raya sebelum ini. kalau boleh saya nak pastikan dapat sambut raya bersama keluarga setiap tahun,” katanya yang bekerja dalam bidang minyak dan gas.

Ujar Mohamad Afiq, dia akan bercuti selama dua minggu di kampungnya bagi perayaan kali ini sebelum kembali bekerja pelantar minyak yang terletak di Bintulu.