Hampir pitam beratur dapatkan bantuan banjir

Penerima bantuan banjir terpaksa beratur hampir tiga jam untuk mendapatkan bantuan banjir selepas menerima SMS pada petang Selasa. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Zairin, Raja Liyana Bazilah)
Penerima bantuan banjir terpaksa beratur hampir tiga jam untuk mendapatkan bantuan banjir selepas menerima SMS pada petang Selasa. (Gambar kecil dari kiri: Mohd Zairin, Raja Liyana Bazilah)
A
A
A

KLANG - Rata-rata mangsa banjir meluahkan rasa kecewa dengan pengurusan agihan bantuan yang dilaksanakan di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang di sini dan mendakwa hampir pitam setelah terpaksa beratur lebih kurang tiga jam untuk mendapatkan wang tersebut.

Tinjauan Sinar Harian di PDT Klang pada Rabu mendapati orang ramai mula beratur bermula jam 9 pagi hingga 2.30 petang untuk mendapatkan bantuan banjir dan panjang barisan mencapai hampir 800 meter.

Penerima bantuan banjir, Mohd Zairin Mat Som, 43, mendakwa disebabkan tiada sistem pengurusan yang baik, ramai individu didapati memotong barisan.

Menurutnya, keadaan tersebut menyebabkan dia yang hadir pada jam 9 pagi terpaksa beratur sehingga jam 1 tengah hari untuk mendapatkan Bantuan Wang Ihsan (BWI).

"Pengurusan tidak betul, ramai orang potong barisan. Tapi mereka beri keutamaan kepada warga emas.

"Apa pun, saya rasa lega sedikit dapat bantuan banjir ini terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri," katanya yang mengusahakan sebuah kedai dobi di Kampung Padang Jawa, Shah Alam.

Raja Liyana Bazilah Raja Azdi, 28, pula mendakwa terpaksa hadir mengambil bantuan banjir di pejabat berkenaan setelah menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) pada jam 4 petang Selasa.

Katanya, sebelum ini dia dimaklumkan wang bantuan tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Namun terpaksa mengambil cuti kecemasan pada saat akhir dan berdiri hampir tiga jam untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

"Sebelum ini mereka janji untuk pindahkan wang bantuan ke dalam akaun, tiba-tiba saya terima SMS semalam (Selasa) memaklumkan perlu ambil wang bantuan tersebut di sini.

"Walaupun bersyukur dapat bantuan ini, tapi rasa tidak berbaloi untuk beratur selama itu," katanya yang tinggal di Meru.

Penerima lain yang ingin dikenali sebagai Joe, 43, turut mengeluh mengenai kaedah pengagihan bantuan banjir yang tidak efisyen.

Dia yang terpaksa beratur selama tiga jam sejak jam 11 pagi turut menyaksikan seorang wanita yang hampir pitam kerana berdiri terlalu lama di bawah panas terik.

"Saya rasa agak bahaya untuk kumpulkan orang ramai ambil bantuan banjir terutamanya dalam keadaan wabak Covid-19 masih merebak.

"Lebih baik mereka pindahkan wang tersebut ke dalam akaun, lebih mudah.

Saya juga kasihan melihat orang tua terpaksa berpanas ketika beratur," katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin berkata, pengagihan BWI dan Bantuan Barangan Keperluan Asas (BBKA) dikendalikan oleh pihak Pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM). Katanya, pihak berkenaan telah meminta kebenaran untuk menggunakan dewan di sini untuk tujuan tersebut.

"Agihan ini akan diberikan sehingga Jumaat (29 April)," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.