Tinggal 510kg daun ketum tepi Sungai Golok

Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia menemui bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kg dipercayai ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok berhampiran Kampung Nibong, Tanah Merah pada Selasa.
Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia menemui bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kg dipercayai ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok berhampiran Kampung Nibong, Tanah Merah pada Selasa.
A
A
A

TANAH MERAH - Markas Briged Kelapan Infantri Malaysia menemui bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 510 kilogram (kg) yang dipercayai ditinggalkan penyeludup di tebing Sungai Golok berhampiran Kampung Nibong di sini pada Selasa.

Briged Kelapan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Abu Hasan Assha'ari Kamis@Shaffiee berkata, rampasan daun ketum bernilai RM15,300 itu dilakukan pada jam 7.30 pagi.

"Rampasan ini hasil daripada rondaan rutin menggunakan kenderaan yang dilakukan di kawasan tersebut.

"Kita tidak menolak kemungkinan daun-daun ketum ini mahu diseludup ke negara jiran melalui laluan yang tidak diwartakan oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, ini merupakan rampasan kedua yang dilakukan di lokasi yang sama dalam tempoh bulan ini.

Beliau berkata, sejak Januari hingga sekarang sebanyak sembilan kes berkait dengan rampasan daun ketum telah berjaya direkodkan oleh pihaknya.

"Rampasan ini secara tidak langsung memberikan petunjuk bahawa penyeludupan daun ketum di sempadan Kelantan-Thailand dilihat semakin aktif berikutan permintaan dan harga yang tinggi di pasaran negara jiran.

"Kesemua barang rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah," katanya.

Beliau berkata, penduduk tempatan dimohon untuk terus memberikan sokongan kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat jenayah rentas sempadan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi menjamin kedaulatan dan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.