Selangor sokong penganjuran kempen #QuranHour

Muhamad Hafiz dan Mohd Zawawi ketika program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.
Muhamad Hafiz dan Mohd Zawawi ketika program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menyokong penganjuran kempen Selangor #QuranHour sebagai inisiatif kepada generasi muda untuk mencari masa menghayati mesej dalam al-Quran.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, kesibukan kerja menyebabkan seseorang itu sukar mencari masa untuk membaca dan mentadabbur al-Quran.

Menurut beliau, golongan itu perlu memahami maqasid atau objektif penurunan kitab suci berkenaan yang bukan sekadar dibaca tanpa pemahaman yang baik.

"Apa yang penting ialah maqasid daripada turunnya al-Quran yang mana bukan sekadar membaca, tapi perlu faham maksud dan tujuan ALLAH turunkan wahyu ini kepada kita.

Bila sibuk bekerja, kita tidak ada masa untuk membaca al-Quran. Jadi harapnya (dengan penganjuran #QuranHour) kita akan ada masa khusus untuk mentadabbur al-Quran.

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi

"Kita mendokong program ini untuk dijadikan sebagai aktiviti tahunan dan sentiasa memberi galakan kepada generasi baru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 di Dewan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini pada Ahad.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS) menganjurkan Selangor#QuranHour selama dua hari sempena Ijtimak Huffaz Selangor ke-15 pada Ahad.

Pengerusinya, Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa berkata, program itu berlangsung selama 24 jam menerusi bacaan 30 juzuk secara hafazan oleh 30 huffaz.

Muhamad Hafiz atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Hafiz berkata, bacaan itu dibuat secara halaqah (lingkaran) menerusi kaedah bersemuka dan secara dalam talian.

Beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat memaklumkan hafazan secara maya 24 jam tanpa henti berkenaan direkod dalam Malaysia Book of Records (MBR).