Harumanis Perlis: Karnival jualan terus dari ladang di AEON AU2

Penggemar mangga harumanis di ibu negara berpeluang membeli dan menikmati kelazatan buah itu dengan harga ladang pada Karnival Jualan Terus Dari Ladang di Pasaraya AEON AU2, Setiawangsa.
Penggemar mangga harumanis di ibu negara berpeluang membeli dan menikmati kelazatan buah itu dengan harga ladang pada Karnival Jualan Terus Dari Ladang di Pasaraya AEON AU2, Setiawangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penggemar mangga harumanis di ibu negara kini berpeluang membeli dan menikmati kelazatan buah ikon negeri Perlis itu dengan harga ladang pada Karnival Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) Mangga Harumanis Perlis 2022 di Pasaraya AEON AU2, Setiawangsa di sini.

Karnival tiga hari anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perlis yang bermula semalam itu bertujuan membawa harumanis khas dari Perlis kepada penggemarnya di sini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Perlis Nurulhisham Yaakob berkata, keistimewaan karnival kali ini adalah harga promosi ladang kepada pembeli setelah karnival seumpama itu tidak dilaksanakan sejak dua tahun lepas berikutan penularan wabak Covid-19 yang melanda negara.

"Yang istimewanya kita boleh jual (mangga harumanis) secara terus dan pengunjung yang hadir juga boleh mempelajari dan mengenali sendiri harumanis yang dikeluarkan dari Perlis, dari segi saiz, bentuk buah, rasa serta kelazatannya," katanya pada sidang media di karnival itu di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk memperluaskan karnival berkenaan di negeri-negeri lain, Nurulhisham berkata setakat ini karnival itu hanya akan dianjurkan di Lembah Klang sahaja susulan bekalan harumanis yang terhad.

Turut hadir pada karnival itu Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

Sementara itu, pengusaha gerai Syazwan Azri Harumanis, Syazwan Azri Samudin, 29, berkata, pada karnival itu mereka menawarkan harumanis terus dari ladang dengan harga mampu milik kepada pelanggan.

Katanya, buah ikonik di reruainya itu dijual dengan harga RM25 bagi satu kilogram, berbeza dengan harga pasaran yang kebiasaannya dijual sekitar RM110 sehingga RM 140 bagi 3kg.

"Setakat hari ini, Alhamdulillah sambutan memberangsangkan. Saya berharap agar karnival ini menerima sambutan lebih tinggi pada hari esok, selain (karnival ini) diperluaskan pada masa hadapan," katanya ketika ditemui Bernama di reruainya hari ini.

Berkongsi keterujaan, seorang pekerja swasta Mohd Khairul Effendi, 37, yang turut mengambil peluang mengunjungi reruai di karnival itu berkata beliau sudah lama tidak merasai kelazatan buah harumanis susulan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang berlanjutan sebelum ini.

Sebelum ini saya dan keluarga bercadang ke Perlis untuk melancong dan membeli buah harumanis ini tapi tiada rezeki akibat Covid-19. Jadi karnival ini sedikit sebanyak memenuhi hasrat untuk mendapatkan buah mangga harumanis ini," katanya.

Terdapat kira-kira 20 reruai yang beroperasi di karnival berkenaan yang dilihat rata-rata pengunjungnya tidak melepaskan peluang membeli buah ikonik negeri Perlis serta produk-produk lain seperti durian, kerepek dan kuih-muih yang ditawarkan. - Bernama