Anggota bomba hanya cuti raya lima tahun sekali

Nordin (Tengah) bersama Timbalan Pengarah JBPM KL, Rozihan Anwar Mamat (kiri) ketika merasmikan kempen terbabit pada Jumaat.
Nordin (Tengah) bersama Timbalan Pengarah JBPM KL, Rozihan Anwar Mamat (kiri) ketika merasmikan kempen terbabit pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hanya 20 peratus daripada pegawai serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang bertugas di balai bomba di sekitar ibu negara dibenarkan untuk bercuti sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada setiap tahun

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, sistem penggiliran cuti terpaksa digunakan demi memastikan kekuatan dan kesiapsiagaan pasukan sentiasa berada pada tahap tertinggi dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

"Kita (Bomba) tidak beraya seperti orang awam, oleh itu hanya 20 peratus anggota daripada setiap balai dibenarkan untuk bercuti raya. Secara purata setiap daripada mereka hanya dapat bercuti sekali sahaja setiap lima tahun.

"Selain 'standby' kita juga jalankan program keselamatan kebakaran dan rondaan trafik memandangkan jumlah pengguna jalan raya yang tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri ini," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Beli Belah Sogo pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Pemeriksaan Bangunan Sempena Musim Perayaan Aidilfitri 2022 anjuran JBPM Kuala Lumpur dengan kerjasama Pusat Beli Belah Sogo.

Mengulas lanjut, Nordin berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, pihaknya bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan menjalankan advokasi berhubung aspek keselamatan serta pencegahan kebakaran.

"Antara usaha lain diberikan adalah memberi khidmat nasihat kepada orang ramai melalui Bahagian Keselamatan Kebakaran dengan memberikan penerangan mengenai risiko kebakaran, 'good housekeeping', penyelenggaraan bangunan yang teratur dan sempurna serta pemasangan jeriji tingkap dan pintu yang betul.

"Saya yakin setiap penghuni rumah tahu macam mana tercetusnya kebakaran. Ia berpunca daripada sumber bahan api dan peralatan elektrik, contohnya ada yang memasak secara keterlaluan boleh mengakibatkan kebakaran," ujarnya.

Menurutnya, menerusi inisiatif tersebut dan peringatan yang berterusan pastinya kejadian kebakaran dapat dielakkan jika setiap lapisan masyarakat sentiasa berwaspada.