KKM jangka jumlah sebenar perokok meningkat berbanding 2019

Khairy Jamaluddin bersama Idris (kanan) menunjukkan poster Dilarang Merokok selepas melancarkan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin bersama Idris (kanan) menunjukkan poster Dilarang Merokok selepas melancarkan Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah sebenar perokok di negara ini meningkat berbanding statistik pada tahun 2019.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, daripada statistik pada 2019, dianggarkan 21.3 peratus atau 4.9 juta rakyat Malaysia merokok.

“Ini berdasarkan kepada Tinjauan Kesihatan dan Mobiliti Kebangsaan atau National Health and Mobility Survey yang dibuat pada tahun 2019.

“Namun demikian, saya syaki bahawa jumlah yang sebenar adalah lebih daripada itu,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini pada Jumaat.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, disebabkan itu pihaknya berharap lebih ramai perokok akan mengambil peluang melalui Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid terutamanya daripada segi perkhidmatan yang disediakan.

“Bukan hanya kaunseling tetapi (ia) juga (melibatkan) rawatan menggantikan nikotin yang disediakan melalui program tersebut secara berperingkat untuk membantu mereka berhenti merokok dan mengurangkan ketagihan nikotin,” katanya.

Tambah Khairy, sejak Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid dimulakan pada 8 April lalu, pihaknya telah memperoleh 41 peserta manakala perokok yang memerlukan bantuan merokok adalah 12 orang.

Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. Foto Bernama

“Walaupun angka itu masih lagi rendah tetapi ini adalah satu permulaan yang baik menunjukkan bahawa di masjid ada yang tergerak hati untuk berdaftar di bawah program ini,” ujarnya.

Tegasnya, Program Perkhidmatan Berhenti Merokok mQuit Masjid juga akan diperhebat agar perokok mudah untuk berhenti dan individu yang tidak merokok tidak akan mencubanya.

“Sebab itu kita nak ada generasi penamat. Yang lahir 2005 ke atas termasuk anak-anak saya tidak boleh beli rokok selepas ini.

“Kita (juga) akan ada sesi libat urus dengan semua agensi penguatkuasa termasuk polis, kastam dan sebagainya supaya isu rokok yang diseludup ini dapat juga ditangani.

“Kita tak nak kita buat undang-undang tapi masih ada pasaran gelap. Kita pastikan bahawa rokok tidak boleh dijual pada generasi (yang lahir) 2005 (dan) rokok yang diseludup juga kita banteras habis-habisan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy turut mengulas mengenai kenyataan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang menyatakan bahawa kerajaan 'kelihatan seperti keliru' siapakah yang melantik KPISoft Sdn Bhd sebagai vendor aplikasi MySejahtera berikutan tiada kontrak formal antara syarikat itu dengan kerajaan.

Ahli Parlimen Rembau itu menyatakan bahawa beliau tidak pasti tentang apa yang dimaksudkan oleh PAC terbabit dan keterangan yang diberikan olehnya sebelum ini juga jelas.

“Saya tak pasti apa yang dimaksudkan. Keterangan saya adalah jelas. Kalau dia (PAC) nak panggil saya semula, panggillah,” katanya.