Padah buat aksi 'wheelie', dua remaja terpaksa berbuka di balai

Salah seorang remaja terpaksa berbuka puasa di Cawangan Trafik IPD Pasir Mas apabila dicekup selepas melakukan aksi 'wheelie' semasa menunggang motosikal di kawasan tepi parit air berhampiran SK Pangkal Kala, Pasir Mas pada Khamis.
Salah seorang remaja terpaksa berbuka puasa di Cawangan Trafik IPD Pasir Mas apabila dicekup selepas melakukan aksi 'wheelie' semasa menunggang motosikal di kawasan tepi parit air berhampiran SK Pangkal Kala, Pasir Mas pada Khamis.
A
A
A

PASIR MAS - Dua remaja terpaksa berbuka puasa di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas apabila dicekup selepas melakukan aksi 'wheelie' semasa menunggang motosikal di kawasan tepi parit air berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Pangkal Kala, di sini pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, kedua-dua remaja berusia 15 tahun itu dicekup semasa melakukan aksi bahaya itu menggunakan motosikal jenis Honda EX5 pada jam 6.50 petang.

"Ketika melakukan pemerhatian menerusi Op Samseng Jalanan, anggota bertugas ternampak sebuah motosikal sedang melakukan aksi 'wheelie' di jalan Gelang Mas-Pangkal Kala," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, penunggang dan pembonceng motosikal itu telah melakukan aksi bahaya tersebut tanpa memakai topi keledar.

Beliau berkata, anggota bertugas terus bertindak menghampiri remaja berkenaan dan menahannya di kawasan tepi parit air berhampiran SK Pangkal Kala. sebelum membawa kedua-duanya ke Cawangan Trafik IPD Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

"Semakan mendapati kedua-dua remaja berkenaan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Menurutnya, saringan air kencing yang dilakukan mendapati remaja terbabit negatif dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.