Pecut bot bawa lari ketum, ubat batuk

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menunjukkan daun ketum dan cecair ubat batuk yang dirampas untuk siasatan lanjut.
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga menunjukkan daun ketum dan cecair ubat batuk yang dirampas untuk siasatan lanjut.
A
A
A

TUMPAT - Tindakan seorang penyeludup cuba melarikan diri dengan memecut bot muatan daun ketum dan ubat batuk bernilai RM11,940, gagal apabila ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, di sini pada Rabu.

Serbuan dilakukan menerusi Op Pensura pada jam 10 malam itu berjaya menahan seorang suspek lelaki yang berusia lingkungan 30-an.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, pasukan sebelum itu mengesan pergerakan sebuah bot enjin galah meluncur laju dari arah jambatan Pulau Ular menuju keluar dari Sungai Mentua di sini.

“Ketika cuba menghampiri bot tersebut untuk pemeriksaan, tiba-tiba pemandunya bertindak memecut laju bot dan enggan berhenti walaupun pasukan memperkenalkan diri sebagai polis serta diberi arahan supaya berhenti.

“Anggota bertindak mengejar bot itu sehingga sampai berhampiran kawasan di Kuala Sungai Mentua dan pemandu gagal mengawal bot itu menyebabkan terperosok dalam rimbunan pokok nipah,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar, di sini, pada Khamis.

Mengulas lanjut, pemeriksaan menjumpai bungkusan daun ketum dan dua kotak yang mengandungi botol berisi cecair ubat batuk yang dipercayai bertujuan seludup ke Thailand.

Bot penyeludup yang terperosok ke dalam kawasan nipah selepas dikejar oleh pasukan pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat.
Bot penyeludup yang terperosok ke dalam kawasan nipah selepas dikejar oleh pasukan pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga di Sungai Mentua, Pengkalan Kubor, Tumpat.

“Sejumlah 95 kilogram (kg) daun ketum dan 244 botol cecair ubat batuk yang dianggarkan bernilai RM11,940 itu dirampas untuk tindakan lanjut.

“Suspek ditahan selepas berjaya dikesan ketika bersembunyi di dalam pokok nipah berhampiran kawasan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, bot enjin galah bernilai RM8,000 yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan tersebut turut disita.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dianggarkan berjumlah RM19,940.

“Kes disiasat bawah Akta Dadah 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya.