Pengedar dadah terbesar di Marang ditahan

Mohd Zain (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di rumah suspek pada Isnin lalu.
Mohd Zain (tengah) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas dalam serbuan di rumah suspek pada Isnin lalu.
A
A
A

MARANG – Polis menahan seorang lelaki dipercayai antara pengedar dadah terbesar di daerah ini dan merampas dadah seberat lebih 13 kilogram (kg) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Surau Haji Yaakob, Bukit Payong, di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, lelaki tempatan berusia 54 tahun itu ditangkap dalam Operasi Tapis Khas 3.0 dan Jihad Dadah kira-kira jam 12.50 malam.

Menurutnya, pemeriksaan di rumah suspek menemukan dadah disyaki jenis yaba seberat 555 gram dan 13kg dadah jenis syabu dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah lebih RM495,000.

“Satu botol berisi biji pil berwarna merah dan hijau disyaki dadah jenis yaba ditemui di ruang tamu manakala satu kotak yang mengandungi syabu dijumpai di dalam bilik.

“Pemeriksaan lanjut di bahagian dapur turut menemui dadah jenis syabu tersimpan di dalam kotak dan bungkusan plastik dengan jumlah keseluruhan syabu yang ditemui di rumah tersebut adalah lebih 13kg.

“Selain rampasan dadah, sejumlah wang tunai sebanyak RM12,140 turut disita,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini pada Khamis.

Mohd Zain berkata, suspek yang tinggal seorang diri dipercayai menjadikan rumah sewa tersebut sebagai tempat pemprosesan dadah dan bahan terlarang itu hanya dijual kepada pengedar bukan penagih biasa.

Katanya, rumah tersebut turut dilengkapi empat kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bagi tujuan mengesan kehadiran polis dan pihak berkuasa.

“Hasil maklumat dari suspek, selain Terengganu dadah ini turut dipasarkan ke sebahagian kawasan negeri Pahang dan ia mampu menampung bekalan kepada kira-kira 20,000 penagih dadah,” katanya.

Jelas beliau, risikan telah dilakukan sejak lapan bulan lalu sebelum serbuan dibuat dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang bekerja sendiri positif dadah jenis methamphetamine.

Menurut Mohd Zain, suspek yang mempunyai 19 rekod lampau kes berkaitan dadah kini direman selama tujuh hari sehingga 24 April nanti.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.