Waspada individu menyamar pegawai Guan Eng

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan tidak terpedaya dengan tawaran yang menggunakan nama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dari scammer yang tidak bertangggungjawab.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kewangan, Lutfi Hakim berkata, terbaharu, pihaknya mengesan seorang individu tidak bertanggungjawab yang telah menyamar bekerja sebagai Pengurus Perniagaan kepada Menteri Kewangan menggunakan nama “Balu Kelvin”.

"Beliau (scammer) telah menghubungi individu tertentu melalui alamat e-mel “[email protected]” dengan tawaran mengaturkan pertemuan dengan Menteri Kewangan untuk tujuan perniagaan.

"Tawaran tersebut merupakan suatu penipuan oleh “Balu Kelvin” yang menyamar sebagai pegawai Menteri Kewangan. Perlakuan menipu dan menyamar tersebut merupakan kesalahan di bawah pelbagai seksyen dalam Kanun Keseksaan (termasuklah Seksyen 417, dan 419)," katanya menerusi kenyataan.

Sehubungan itu beliau berkata satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak semalam berhubung perkara itu untuk tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia