Bimbang kesan sampingan

Pakar kesihatan menasihatkan ibu bapa agar segera menghantar anak-anak untuk mengambil vaksin demi keselamatan bersama memandangkan ketika ini jangkitan Covid-19 dalam kalangan kelompok itu membimbangkan. Gambar kecil: Dr Sharifa Ezat
Pakar kesihatan menasihatkan ibu bapa agar segera menghantar anak-anak untuk mengambil vaksin demi keselamatan bersama memandangkan ketika ini jangkitan Covid-19 dalam kalangan kelompok itu membimbangkan. Gambar kecil: Dr Sharifa Ezat
A
A
A

SHAH ALAM - Kebimbangan terhadap kesan sampingan selepas divaksin menjadi antara faktor permintaan vaksinasi Covid-19 untuk kanak-kanak di negara ini masih lagi rendah ketika ini.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, disebabkan kebimbangan tersebut membuatkan ibu bapa masih ragu-ragu untuk membenarkan anak masing-masing divaksin.

“Apabila dilaporkan ada berlaku kesan sampingan, ibu bapa ini akan menjadi risau.

“Pada saya, itulah sebenarnya antara perkara yang menyebabkan ibu bapa susah hati atau bimbang untuk memberi vaksin Covid-19 kepada anak-anak mereka ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas faktor yang menyebabkan permintaan vaksinasi untuk kanak-kanak di Malaysia masih lagi rendah.

Pada Rabu lalu, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dilaporkan berkata, dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) hanya akan diberikan sehingga 15 Mei ini dan tidak lagi akan ditawarkan selepas tarikh akhir berkenaan.

Beliau berkata, tarikh akhir berkenaan ditetapkan mesyuarat Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (CITF-C) memandangkan permintaan rendah vaksinasi yang boleh menyebabkan pembaziran vaksin tinggi.

Keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pembaziran vaksin Comirnaty kanak-kanak yang tidak digunakan dalam tempoh enam bulan selepas dikeluarkan pengilang.

Mengulas lanjut, Dr Sharifa Ezat berkata, kerajaan disaran supaya menilai kembali keputusan untuk tidak lagi menawar dos pertama vaksin Covid-19 di bawah PICKids selepas 15 Mei ini.

Ini kerana katanya, tindakan sedemikian dilihat terburu-buru dan akhirnya akan memberi kesan kepada rakyat khususnya kanak-kanak apabila program tersebut tidak lagi diteruskan.

“Bagi ibu bapa pula saya nasihatkan agar segera hantar anak-anak untuk mengambil vaksin demi keselamatan bersama memandangkan ketika ini jangkitan Covid-19 dalam kalangan kelompok itu membimbangkan.

“Kemungkinan selepas ini ibu bapa terpaksa membayar sekiranya menukar fikiran untuk benarkan anak-anak divaksin. Jadi, hentilah dengar berita yang tidak tepat, wujud konspirasi dan sebagainya kerana ia adalah tidak betul sama sekali,” kata beliau.