Perjawatan Malawakil diisi dalam waktu terdekat: Saifuddin

Saifuddin (tengah) bersama ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Dasar Luar yang dianggotai wakil Majlis Belia Malaysia (MBM).
Saifuddin (tengah) bersama ahli jawatankuasa Majlis Perundingan Dasar Luar yang dianggotai wakil Majlis Belia Malaysia (MBM).
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lebih 20 kekosongan perjawatan perwakilan Malaysia (Malawakil) di luar negara akan diisi dalam waktu terdekat.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, senarai perjawatan tersebut kini sudah di peringkat akhir sebelum dimuktamadkan.

"Ada lebih 20 jawatan ketua perwakilan Malaysia sedang diisi dan senarai itu sedang melalui proses tapisan dan sebagainya. Antara sebab ada lebih 20 kekosongan adalah kerana persaraan serta sebab luar biasa iaitu Covid-19.

"Mereka tidak boleh lakukan pergerakan kerana ketua perwakilan perlu 'cross posting' dari negara A ke B atau A balik ke Malaysia atau sebaliknya," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pelantikan Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, Majlis Belia Malaysia (MBM) di Putrajaya, pada Isnin.

Kata Saifuddin lagi, buat masa ini tugas ketua perwakilan bagi negara yang tidak mempunyai Malawakil disandang oleh pemangku duta dikenali sebagai Kuasa Usaha Sementara.

Saifuddin menjelaskan, Kuasa Usaha Sementara terdiri daripada diplomat berpengalaman yang akan menjalankan tugas melibatkan hubungan diplomasi dan sebagainya.

"Sebagai contoh ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri kali ke-2, kita ada kekosongan duta di China namun Kuasa Usaha Sementara menjalankan tugas dengan begitu cemerlang.

"Pada 25 April ini, Yang di-Pertuan Agong akan menerima 'credential' daripada sejumlah duta dari beberapa negara luar yang turut tertangguh akibat Covid-19," katanya.

Dalam pada itu Saifuddin memaklumkan, antara negara yang tidak mempunyai ketua perwakilan Malaysia adalah di Amerika Syarikat, Jepun, German, Indonesia dan Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu di majlis berkenaan, Kementerian Luar melantik 13 wakil daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi menganggotai Majlis Perundingan Dasar Luar.

Mengenai objektif penubuhan jawatankuasa itu, Saifuddin berkata, ia bagi membantu dan memfasilitasi penglibatan belia dalam isu serta program antarabangsa.

Katanya, jawatankuasa itu bertanggungjawab menentukan program atau fokus yang ingin dilaksanakan.

"Menerusi perbincangan antara Kementerian Luar dan MBM, kita bersetuju untuk mereka menyenaraikan aktiviti utama sepanjang setahun akan datang yang ingin dilaksanakan.

"Kementerian Luar akan memfasilitasi peluang-peluang penglibatan belia Malaysia dalam pelbagai program antarabangsa," katanya.