Krisis Ukraine: Satu daripada lima umat manusia berdepan kelaparan

Krisis di Ukraine boleh mengakibatkan lebih satu daripada lima orang populasi dunia berdepan kemiskinan dan kelaparan. - Gambar hiasan
Krisis di Ukraine boleh mengakibatkan lebih satu daripada lima orang populasi dunia berdepan kemiskinan dan kelaparan. - Gambar hiasan
A
A
A

PRAGUE - Krisis di Ukraine boleh mengakibatkan lebih satu daripada lima orang, atau sekitar 1.7 bilion populasi dunia berdepan kemiskinan dan kelaparan, menurut Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres.

"Kita melihat tragedi itu berlaku di Ukraine. Tetapi tanpa disedari, krisis itu turut mendatangkan kesan buruk terhadap negara membangun.

"Krisis itu boleh menjerumus sehingga 1.7 bilion orang, atau lebih satu perlima umat manusia ke dalam kancah kemiskinan dan kelaparan yang berterusan," lapor Sputnik memetik Guterres sebagai berkata dalam temu bual dengan Czech Seznam Zpravy, pada Ahad.

Ukraine dan Rusia menyumbang 30 peratus pengeluaran gandum dan barli dunia, membekalkan satu perlima keluaran jagung dan lebih separuh pembekalan minyak bunga matahari.

Kedua-dua negara itu turut menyumbang lebih satu pertiga import gandum kepada 45 negara membangun.

Beliau berkata krisis Ukraine menyekat eksport bijirin dan mengganggu rantaian bekalan, menyebabkan harga melambung tinggi.

Sejak awal 2022, harga gandum dan jagung telah meningkat sebanyak 30 peratus, harga minyak mentah Brent telah meningkat lebih 60 peratus, manakala harga gas dan baja meningkat lebih dua kali ganda.

Guterres menggesa ke arah pembaharuan global yang mengubah sistem kewangan dunia sebelum ini "yang menjadikan yang kaya lebih kaya, dan yang miskin lebih miskin".

Artikel Berkaitan:

Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Kristalina Georgieva berkata pada Khamis konflik Ukraine menurunkan unjuran 143 ekonomi tahun ini, yang secara kolektif membentuk 86 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia.

Ketua-ketua IMF, Bank Dunia, Program Makanan Sedunia (WFP), dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) mengeluarkan kenyataan bersama pada Rabu menggesa tindakan segera dan teratur bagi menangani keselamatan makanan di tengah-tengah krisis Ukraine, di samping ancaman wabak COVID-19 yang masih berterusan. - Bernama