Ada apa selepas 31 Julai?

MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon PM BN untuk menghadapi PRU15.
MKT UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon PM BN untuk menghadapi PRU15.
A
A
A

SEJAK beberapa hari lalu, fokus dan tumpuan ramai berhubung keputusan Mesyuarat Kerja Tertinggi UMNO (MKT) lebih terarah kepada calon 'poster boy' Perdana Menteri (PM) parti itu.

Walaupun sebelum ini terdapat desas-desus tentang kemungkinan Datuk Seri Najib Razak akan membuat 'comeback' atau UMNO bakal meneruskan tradisi Presiden parti jadi PM, nampaknya kedua-duanya meleset.

MKT UMNO akhirnya sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon PM Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Persoalan sama ada cadangan itu akan menjadi realiti atau kemungkinan Ismail Sabri berdepan situasi seperti Datuk Seri Hasni Mohammad di Johor, masa akan jadi penentunya nanti.

Bagaimanapun, yang pasti mesyuarat dan topik perbincangan UMNO kini sudah banyak berkisar mengenai persediaan mereka menuju PRU15.

UMNO juga nampaknya sudah berpatah arang berkerat rotan untuk tidak meneruskan atau menyambung Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH) selepas ia tamat 31 Julai.

Lantas ramai pemerhati politik yang bertanya apakah yang bakal terjadi selepas 31 Julai? Adakah dengan keputusan tidak menyambung MoU itu bermakna PRU15 juga makin hampir?

Walaupun beberapa pemimpin pembangkang menegaskan MoU yang dimeterai mereka bukan dengan parti UMNO sebaliknya bersama Ismail Sabri, namun mahu atau tidak Naib Presiden UMNO itu masih terikat dengan parti.

Artikel Berkaitan:

Itulah dilema yang dilalui Ismail Sabri ketika ini dan jika menang PRU15, untuk tempoh lima tahun selepas itu.

Bergelar PM yang bukan secara tradisinya dijawat Presiden parti, beliau masih terikat dengan keputusan dan arahan nakhoda utama parti.

Walaupun MoU bersama PH dilihat berjaya menstabilkan pentadbiran negara daripada siri pertukaran kerajaan dan PM, namun bukan rahsia lagi UMNO dan BN kini dilihat berada dalam kedudukan terbaik menempuh PRU15.

Dalam politik, masa juga memainkan peranan yang sangat penting dan sudah tentulah dengan kejayaan di Melaka dan di Johor, UMNO dan BN merasakan inilah masa terbaik.

Dengan keputusan UMNO tidak mahu meneruskan lagi MoU selepas 31 Julai, PRU15 kini dianggap hanya menghitung hari.