Isu pengambilan pekerja asing selesai dalam sebulan

Saravanan ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Amal Muslim Youth Club (MMYC) 2022 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Ahad.
Saravanan ditemui pemberita selepas Majlis Iftar Amal Muslim Youth Club (MMYC) 2022 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Ahad.
A
A
A

PETALING JAYA - Kerajaan telah memutuskan bahawa semua isu melibatkan pengambilan pekerja asing akan diselesaikan dalam tempoh sebulan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan menjelaskan, beberapa perubahan dilakukan dari segi pelaksanaan pengambilan pekerja asing dalam kalangan majikan.

Menurut beliau, kerajaan melakukan beberapa perubahan contohnya Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang akan diperakui dengan akujanji daripada majikan.

“Jika sebelum ini kita menunggu sehingga semua syarat diisikan oleh majikan (yang) akan memakan masa.

“Kini telah diperhalusi dan dibenarkan dengan konsep akujanji majikan bahawa mereka perlu menyediakan kemudahan termasuk penginapan yang sesuai sebaik sahaja mereka menerima pekerja berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Iftar Amal Muslim Youth Club (MMYC) 2022 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini pada Ahad.

Saravanan berkata demikian mengulas laporan media bahawa kekurangan pekerja menyebabkan banyak premis perniagaan termasuk kedai makan belum dapat beroperasi 24 jam walaupun boleh berbuat demikian selepas negara memasuki fasa peralihan endemik.

Sementara itu, mengulas gesaan Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang menggesa kerajaan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan pengecualian gaji minimum RM1,500, Saravanan menyatakan pihaknya boleh berbincang mengenai perkara terbabit.

“Boleh bincang, tak ada masalah,” katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

MTUC pada Jumaat menggesa kerajaan mengadakan perbincangan lanjut mengenai cadangan pengecualian kadar gaji minimum RM1,500 bersama pihak berkaitan bagi mengelakkan kemarahan pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, pengecualian gaji minimum tersebut akan menyebabkan pekerja berasa terpinggir dan ditindas malah terus berada dalam keadaan dinafikan hak untuk kenaikan gaji.

Kamarul Baharin berkata, tempoh kelonggaran selama setahun untuk melaksanakan gaji minimum yang dikuatkuasakan Mei ini terhadap beberapa sektor pekerjaan juga tidak munasabah.