57 notis kompaun terhadap peniaga bazar Ramadan di Kelantan

Dr Zaini (kiri) menyampaikan risalah kepada peniaga semasa melancarkan Kempen Budaya 3-M di Bazar Ramadan Wakaf Bharu, Tumpat pada Ahad.
Dr Zaini (kiri) menyampaikan risalah kepada peniaga semasa melancarkan Kempen Budaya 3-M di Bazar Ramadan Wakaf Bharu, Tumpat pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengeluarkan sebanyak 57 notis kompaun kepada peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri itu atas pelbagai kesalahan bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Husin berkata, jumlah kompaun bernilai RM6,400 itu dikeluarkan sepanjang minggu pertama Ramadan.

"Antara kesalahan yang dilakukan oleh peniaga bazar Ramadan ialah tidak mengikuti kursus pengendali makanan anjuran JKNK, tiada suntikan sebagai pengendali makanan dan tidak mengenakan pakaian sesuai sebagai peniaga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Budaya 3-M Bazar Ramadan di Wakaf Bharu, di sini pada Ahad.

Kempen Budaya 3-M Bazar Ramadan itu bermaksud mengamal, memilih dan melaksana berkait dengan kebersihan serta keselamatan makanan.

Dr Zaini berkata, sebanyak 818 gerai dan 1,692 pengendali makanan di bazar Ramadan di seluruh negeri telah diperiksa sepanjang minggu pertama puasa.

Menurutnya, terdapat 65 buah bazar Ramadan di seluruh Kelantan yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 3,780 petak perniagaan telah beroperasi di 65 buah bazar tersebut.

"Untuk makluman JKNK telah menubuhkan 54 pasukan pemantau yang terdiri daripada 194 orang Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dan Pembantu Kesihatan Awam untuk menjalankan pemeriksaan serta penguatkuasaan di seluruh negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berkait dengan keracunan makanan di bazar Ramadan.

Katanya, jika ada sebarang isu melibatkan kebersihan penjualan makanan, orang ramai boleh menghubungi JPNK atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat.