Sila log masuk terlebih dahulu.

Omicron masih penyakit serius: Khairy

Khairy Jamaluddin (tiga, kiri) meninjau jabatan kecemasan dan trauma yang bakal diubahsuai semasa melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada Sabtu. Foto Bernama
Khairy Jamaluddin (tiga, kiri) meninjau jabatan kecemasan dan trauma yang bakal diubahsuai semasa melakukan lawatan kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Varian Omicron masih lagi dianggap sebagai 'penyakit' yang serius terutama bagi golongan yang berisiko tinggi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, justeru perlindungan yang optimum perlu diberikan khususnya kepada warga emas, pesakit kronik seperti tekanan darah tinggi serta diabetes dan mereka yang mempunyai masalah sistem imun.

"Bagi mereka yang kata Omicron macam selsema biasa, mungkin (ya) bagi sesetengah orang, tapi bagi mereka yang bermasalah, Covid Omicron masih penyakit yang serius, yang boleh membawa mudarat yang serius.

"Jadi bagi mereka (golongan) yang saya sebutkan tadi, sangat digalakkan untuk mengambil dos penggalak (vaksin Covid-19) kerana jika dijangkiti Omicron, kesan dan gejala adalah buruk kepada kumpulan tadi,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19, susulan ramai perantau yang akan pulang ke negeri asal masing-masing pada sambutan hari raya tidak lama lagi.

Khairy yang tidak menolak kemungkinan peningkatan jangkitan semasa raya nanti, berkata usaha untuk meningkatkan peratusan pengambilan dos penggalak terutama dalam kalangan warga emas perlulah dipertingkatkan, dan pihaknya akan mengarahkan pengarah kesihatan negeri berbuat demikian sebolehnya sebelum raya nanti.

"Untuk raya, kerajaan bagi jaminan keluarga Malaysia boleh balik kampung, tiada sekatan. Kementerian (Kesihatan) puas hati dengan trend jangkitan... Hospital tiada tekanan dari segi kemasukan ke unit rawatan rapi, kita yakin boleh balik kampung jumpa saudara mara.

"Tapi lebih baik beri perlindungan kepada warga tua sebab anak-anak balik kampung, kita tak tahu mungkin bawa balik virus, boleh saja buat ujian (COVID-19) tapi ada yang tak buat. Jadi lebih baik pesan kepada ibu bapa supaya ambil dos penggalak di klinik berdekatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak seperti kanak-kanak, yang tarikh akhir pemberian vaksin Covid-19 dos pertama di bawah Program Imunisasi Covid 19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) ditetapkan pada 15 Mei ini, pengambilan dos penggalak setakat ini masih tiada tarikh tutup.

Dalam pada itu Khairy berkata, jika kes jangkitan meningkat pada hari raya nanti, pihak kementerian telah bersedia untuk memberi perkhidmatan rawatan sekiranya terdapat individu yang mengalami gejala yang teruk.- Bernama