Polis banteras sindiket penyeludupan kontraban, mercun, bitcoin

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bukit Aman telah melancarkan 13 serbuan bagi membanteras sindiket penyeludupan kontraban, mercun dan perlombongan bitcoin sejak 5 April hingga 15 April.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, pihaknya telah melancarkan tiga Op Kontraban (rokok), satu Op Kontraban (mercun) dan sembilan kes di bawah Op Letrik JKDNKA-bitcoin dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10 juta.

"Dalam serbuan pertama pada 5 April lalu, seorang lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dengan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok di Kajang.

"Kita turut merampas 1,079 karton rokok pelbagai jenis dianggarkan bernilai RM318,634.40 serta sebuah kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hazani berkata, ekoran daripada serbuan tersebut, pihaknya melancarkan serbuan kedua juga di daerah sama dengan merampas 2,800 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM1.1 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Beliau berkata, dalam serbuan berasingan, pihaknya telah menahan seorang lelaki dan merampas 264 kotak mercun pelbagai jenis di Klang pada 8 April lalu.

"Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM800,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Dalam pada itu, Hazani berkata, dalam operasi keempat pada 13 April lalu, sebuah premis perindustrian telah dikesan menjalankan kegiatan pengilangan dan pembungkusan rokok yang didapati tidak mendapat kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah menahan dua lelaki warga tempatan yang bertanggungjawab ke atas premis tersebut dan merampas sejumlah 15,600 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM6.2 juta.

"Premis tersebut didapati telah menyalahgunakan kelulusan sedia ada dengan membuat pembungkusan dan pengedaran rokok tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam operasi bersama untuk membanteras kegiatan mencuri, membuat penyambungan tidak sah elektrik dalam melakukan kegiatan perlombongan bitcoin.

"Dalam operasi khas tersebut, sembilan premis telah diserbu dan kita berjaya merampas sejumlah 515 unit mesin bitcoin yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta.

"Kita turut menahan sembilan lelaki termasuk dua lelaki warga asing dalam operasi itu dan kes disiasat di bawah seksyen 427/379 kanun keseksaan," katanya.