MoU PDI elak aniaya pekerja migran

Papa menyifatkan kadar gaji minimum RM1,500 yang termaktub dalam MoU berat sebelah dan tidak mengambil kira kos sebenar yang ditanggung majikan.
Papa menyifatkan kadar gaji minimum RM1,500 yang termaktub dalam MoU berat sebelah dan tidak mengambil kira kos sebenar yang ditanggung majikan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Malaysia dan Indonesia bagi pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI) baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi pihak berkaitan, khususnya yang mewakili majikan.

Mereka menyifatkan MoU itu lebih memihak kepada PDI berikutan beberapa inisiatif dan peraturan ketat yang dikenakan terhadap majikan dalam usaha kedua-dua kerajaan menjamin kebajikan tenaga kerja Indonesia (TKI).

Apatah lagi dikatakan ada kandungan memorandum itu yang tidak didedahkan seperti laporan sebuah portal berita yang mendakwa majikan Malaysia perlu membayar gaji minimum RM1,500 kepada PDI.

Bagaimanapun Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan dalam kenyataan balasnya menjelaskan kadar gaji pembantu domestik dari negara jiran itu bermula pada kadar RM1,200 sebulan berdasarkan pelaksanaan dasar gaji minimum semasa negara.

Tidak relevan

Di sebalik penjelasan Saravanan, pihak yang berkenaan terus membangkitkan pelbagai isu yang disifatkan mereka tidak adil untuk majikan.

Presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (Papa), Datuk Foo Yong Hooi berkata, selain berat sebelah, kadar gaji minimum RM1,500 yang termaktub dalam MoU itu diputuskan tanpa mengambil kira kos sebenar yang ditanggung majikan.

"Jika majikan perlu membayar gaji minimum amah sebanyak RM1,500, kemudian bagi bilik dan tanggung kos makan minum pekerja di rumah, (kos) ini tidak berbaloi.

Artikel Berkaitan:

"Bagi mereka yang kurang berkemampuan tetapi mahukan pembantu rumah untuk menjaga orang tua atau anak mereka, ini agak membebankan,” katanya kepada Bernama.

Bagi mengatasi masalah itu, beliau mencadangkan kerajaan membenarkan pelaksanaan pembantu rumah separuh masa yang dikendalikan oleh Agensi Pekerjaan Swasta (APS).

"Sekiranya kita mahu pembantu rumah duduk bersama, majikan perlu sediakan bilik, dan bagi majikan yang tidak dapat menyediakan bilik, mungkin mereka boleh mengambil pembantu rumah separuh masa.

"Pembantu rumah boleh datang ke rumah (majikan) mengikut keperluan... penginapan amah pula boleh diuruskan agensi pekerjaan swasta yang lebih berpengalaman,” katanya yang turut kecewa kerana Kementerian Sumber Manusia tidak mengadakan sesi libat urus bersama persatuan agensi pekerjaan sebelum menandatangani MoU itu.

Jaminan kerajaan

Sementara itu, Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (Mama) Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein meminta kerajaan menjelaskan secara terperinci butiran MoU tersebut, terutama kos yang perlu dibayar oleh majikan.

"MoU yang ditandatangani tidak jelas, seolah-olah berat sebelah... bagi saya majikan juga berhak menuntut ganti rugi termasuk kos tempat tinggal, makan dan minum sekiranya pembantu rumah melarikan diri.

"Kita juga ingin tahu apakah Indonesia boleh memberi jaminan pembantu rumah yang dibekalkan itu bermutu, boleh dipercayai dan tidak pula mendera majikan,” katanya kepada Bernama.

Kandungan MoU yang dilaporkan sebelum ini antaranya penggunaan satu saluran untuk proses penempatan, pemantauan dan pemulangan pekerja asing Indonesia, caruman dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), jaminan bayaran gaji melalui e-Wages, cuti rehat satu hari dalam seminggu, aplikasi e-aduan serta lain-lain kebajikan yang termaktub dalam kontrak perkhidmatan.

Bagaimanapun sebuah portal berita yang mendakwa memperoleh dokumen lengkap MoU itu melaporkan antaranya gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada 7 hari bulan dengan bonus sebulan gaji selepas kontrak tamat dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun.

Pembantu rumah Indonesia juga mesti diberikan rehat sekurang-kurangnya 10 jam setiap hari termasuk tujuh jam tanpa gangguan, dan jika terpaksa bekerja pada hari rehat, pekerja perlu diberi pampasan.

Selain itu, setiap APS boleh mempunyai perjanjian perkongsian dengan tidak lebih daripada 10 agensi pengambilan berdaftar Indonesia.

MoU itu juga menetapkan semua kontrak diserahkan kepada Kedutaan Indonesia oleh agensi pekerjaan masing-masing untuk pengesahan.

Kali pertama MoU PDI ditandatangani ialah pada 2006 dan tamat tempoh pada 2011 sebelum diperbaharui sekali lagi hingga 2016.

Bagaimanapun selepas 2016, MoU PDI tidak dapat diperbaharui berikutan kegagalan kedua-dua negara mencapai kata sepakat susulan laporan kes penderaan membabitkan pembantu domestik Indonesia.

Beberapa siri rundingan yang diadakan pada 2017 dan 2018 juga gagal memuktamadkan MoU baharu sekali gus menyebabkan Malaysia berdepan masalah kekurangan tenaga kerja dari Indonesia.

MoU langkah terbaik

Dalam pada itu, pakar melihat pemeteraian MoU terbaru tersebut boleh merintis kemasukan semula TKI untuk bekerja dalam sektor-sektor yang dibenarkan di Malaysia.

Pakar undang-undang antarabangsa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berpendapat MoU itu adalah platform tepat bagi melindungi pekerja migran dari Indonesia, khususnya dalam mengekang penganiayaan dan pengabaian.

"Indonesia yang telah mengorak langkah sebagai negara progresif bukan seperti dahulu lagi, jadi di sini mereka mengambil peduli tentang kebajikan pekerja-pekerja mereka di Malaysia.

"Bagi pihak Indonesia, semestinya mereka mahu rakyat mereka berkeadaan baik di negara ini... kita tidak boleh nafikan ada majikan di sini melakukan pengabaian dan mendera pekerja-pekerja ini, jika ini berlaku pastinya mereka (Indonesia) akan mempersoalkan (kenapa berlaku), jadi bagi saya MoU ini adalah langkah terbaik,’’ katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Salawati berkata meskipun ada pihak yang mempertikaikan kandungan MoU itu yang dilihat agak membebankan pihak majikan, sebaiknya semua pihak menghormati keputusan kerajaan.

"MoU ini telah dimeterai oleh kedua-dua negara (Indonesia dan Malaysia), jadi tidak ada apa lagi yang perlu kita pertikaikan. Apabila sudah dimeterai maknanya kita (Malaysia) telah bersetuju (dengan MoU).

"Berbalik kepada asas, sekiranya majikan di sini betul-betul atau komited mahukan warga Indonesia bekerja dengan mereka, penuhilah tuntutan MoU. Sekiranya rasa membebankan dan kos menggaji mereka disifatkan tinggi, jangan ambil,’’ ujar beliau.

Rekod hingga Februari tahun ini menunjukkan jumlah pekerja warga Indonesia yang berada di negara ini adalah seramai 352,469 orang dengan 98,421 terlibat dalam sektor perladangan, diikuti perkilangan (67,217), pembinaan (65,660), pekhidmat domestik (58,438), pertanian (43,953) dan perkhidmatan (18,779).

Pakar hal ehwal undang-undang antarabangsa di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Mohd Yazid Zul Kepli turut senada dengan menyifatkan MoU itu penting bagi menjamin kebajikan PDI.

Beliau berkata dengan menggunakan sistem saluran tunggal bagi kemasukan pembantu rumah Indonesia ke Malaysia, secara tidak langsung membolehkan saringan dilakukan ke atas majikan bagi mengenal pasti mereka yang benar-benar layak menggaji PDI.

Jelasnya, pelaksanaan sistem saluran tunggal itu juga membolehkan Malaysia memantau pekerja yang masuk secara sah.

Langkah itu katanya dapat membantu negara menambah baik kedudukannya dalam Laporan Pemerdagangan Manusia.

"Sebelum ini, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menurunkan kedudukan Malaysia ke Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) 2021 kerana tidak mematuhi standard minimum yang ditetapkan untuk membanteras pemerdagangan dan tidak menunjukkan sebarang usaha yang signifikan,’’ katanya.

- Bernama