MBSA peruntuk RM150 juta tangani banjir

MBSA memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menaik taraf sistem perparitan utama dan kolam takungan di kawasan perbandaran itu bagi langkah menangani masalah banjir. - Gambar hiasan. (Gambar kecil) Zamani Ahmad
MBSA memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menaik taraf sistem perparitan utama dan kolam takungan di kawasan perbandaran itu bagi langkah menangani masalah banjir. - Gambar hiasan. (Gambar kecil) Zamani Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menaik taraf sistem perparitan utama dan kolam takungan di kawasan perbandaran itu bagi langkah menangani masalah banjir.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor berkata, untuk tahun pertama sebanyak RM50 juta dari jumlah peruntukan itu akan digunakan bagi menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan di kawasan yang sering dilanda banjir.

"Pada tahun ini, kami akan memberi dahulu tumpuan di kawasan seperti Taman Sri Muda; Seksyen 13; Taman Mesra dan Taman Tun Dr Ismail Jaya untuk dinaik taraf sistem perparitan mereka,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sesi townhall bagi Penyediaan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam bagi tahun 2022-2024, di sini pada Khamis.

Zamani Ahmad berkata, kawasan Shah Alam memerlukan sekurang-kurangnya reka bentuk 50 tahun kala purata ulangan (ARI) kerana sistem perparitan yang ada sekarang hanya menampung kapasiti dari 5 ke 20 ARI dan tidak lagi sesuai ekoran peningkatan taburan hujan yang tidak menentu.

Selain itu katanya, bagi hala tuju Penyediaan Pelan Tindakan Banjir Shah Alam, pihaknya juga akan mengambil kira kerja-kerja menaik taraf kolam takungan agar mampu menampung air sehingga 100 ARI.

"MBSA juga merancang untuk menyediakan struktur tebatan banjir yang mampu mengawal situasi banjir luar biasa dan menyokong sistem tebatan banjir yang disediakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: