Raikan lebaran dengan kesederhanaan

Syaiful
Syaiful
A
A
A

SHAH ALAM – Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menasihatkan orang ramai untuk meraikan lebaran pada tahun ini dengan kesederhanaan dan berhenti serta jauhkan diri daripada trend berbelanja sakan menjelang Mei nanti.

Ketua Cawangan AKPK Melaka, Syaiful Anuar Bokhari berkata, peralihan ke fasa endemik yang bermula April ini, menjadi permulaan baharu buat rakyat Malaysia dan memberikan kegembiraan kepada seluruh umat Islam yang bakal menyambut hari raya pada bulan hadapan.

Menurutnya, timbul persoalan mengenai adakah rakyat Malaysia sudah benar-benar bersedia dari segi kewangan untuk menyambut hari raya seperti tahun sebelum berlakunya pandemik.

Menurutnya, pada tahun ini, kita dijangka dapat berhari raya mengikut tradisi dan aktiviti hari raya yang biasa dilakukan sebelum Covid-19 melanda negara.

“Namun, harus diingat, tradisi dan aktiviti ini perlu disokong dengan persediaan awal dan teliti dari segi kewangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, sebagai contoh, kenderaan perlu diselenggara dengan sempurna dan selamat sebelum melakukan perjalanan pulang ke kampung serta perbelanjaan baju raya baharu, juadah dan kuih raya, duit raya dan sebagainya tentu mahu dipastikan cukup dan sempurna.

“Kebiasaannya, ada antara kita memang sudah ada sumber kewangan seperti simpanan khas untuk dibelanjakan bagi persiapan hari raya atau ada juga yang memperuntukkan gaji bulanan semasa untuk berbelanja. Itu sememangnya perancangan yang baik dan boleh diterima.

“Bagaimana pula sekiranya kewangan untuk perbelanjaan hari raya datang daripada sumber lain seperti pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman daripada saudara mara atau rakan-rakan?

Artikel Berkaitan:

“Atau lebih bahaya dan tidak selamat, daripada peminjam wang tidak berlesen? Ada antara kita yang sedang berusaha untuk kembali bangkit daripada kesulitan kewangan setelah mengalami situasi seperti hilang pekerjaan dan punca pendapatan ketika pandemik,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan rakyat Malaysia sedang dalam proses membina semula kehidupan untuk kembali seperti sediakala.

“Malah, sepanjang dua tahun kita berhari raya dalam fasa pandemik, kita telah pun membuktikan bahawa kita mampu menyambut Ramadan dan Aidilfitri dengan sempurna dalam norma baharu yang lebih menjurus kepada kesederhanaan.

“Orang ramai disarankan untuk terus bersederhana dan membuat bajet raya yang sesuai dengan keadaan kewangan semasa,” katanya.

Syaiful berkata, senaraikan barang yang ingin dibeli dan catat semua perbelanjaan, kenal pasti keperluan sebenar, disiplinkan diri dengan mematuhi segala perancangan bajet yang telah diperuntukkan dan semak semula bajet dan perbelanjaan dari semasa ke semasa.

“Selepas menyambut perayaan, jangan lupa untuk membuat ‘post mortem’ iaitu lihat dan semak semula perbelanjaan sebenar yang berlaku dan periksa kembali aliran tunai.

“Pastikan segala komitmen anda dengan institusi kewangan dibayar dengan baik mengikut jadual dan jumlah yang telah dipersetujui dengan institusi kewangan,” katanya.

Beliau berkata, dengan adanya bajet raya yang realistik kita dapat berbelanja mengikut kemampuan, tiada tunggakan hutang selepas raya, masih ada duit yang cukup untuk menampung kehidupan selepas raya, dan sudah tentu, minda kita menjadi lebih tenang.