X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

'Saya tak pernah arah sesiapa guna dana untuk tujuan peribadi'

Ahmad Zahid ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
A
A

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk menggunakan dana Yayasan Akalbudi (YAB) bagi perbelanjaan peribadinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata demikian ketika prosiding bela diri hari pertama bagi kes 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana YAB di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sebaliknya, Ahmad Zahid, 69, berkata, sebahagian besar pendapatan bulanannya digunakan untuk sedekah, wakaf, infaq dan aktiviti amal jariah bagi tujuan agama serta kebajikan (dalam YAB).

Pada 10 April 2009, beliau dilantik menjadi Menteri Pertahanan manakala Menteri Dalam Negeri pada 16 Mei 2013 kemudian Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 29 Julai 2015.

“Pada ketika itu, saya memperoleh pendapatan lebih kurang RM120,000 sebulan dan saya hanya menggunakan lebih kurang RM30,000 hingga RM40,000, selebihnya untuk kebajikan,” katanya.

Ketika membaca pernyataan saksi, Ahmad Zahid berkata, penubuhan YAB adalah daripada cetusan ideanya sendiri iaitu ketika berkhidmat dalam dunia korporat ketika beliau menjadi pengerusi Bank Simpanan Nasional, Ketua Pegawai Eksekutif Kretam Holding Berhad, Tekala Corporation Berhad, Ramatex Berhad dan Seng Hup Berhad.

“Pada peringkat awal penubuhan, sebahagian besar dana yayasan adalah hasil sumbangan daripada gaji dan simpanan saya.

“Selepas ia semakin dikenali bermula 2013, yayasan mula mendapat sumbangan daripada rakan-rakan saya antaranya Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Ali, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Ahmad Johan,” katanya.

Pada 24 Januari lalu, Presiden UMNO itu diperintahkan untuk membela diri atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana YAB.

Ia selepas mahkamah berpendapat wujud prima facie berhubung kes itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!