Geng ADC aktif pecah rumah tumpas

Sebahagian barangan yang dirampas polis daripada kumpulan Geng ADC. Gambar kecil: Christopher Patit
Sebahagian barangan yang dirampas polis daripada kumpulan Geng ADC. Gambar kecil: Christopher Patit
A
A
A

MELAKA - Geng ADC yang terlibat dalam enam kes pecah rumah di negeri ini tumpas selepas tertangkapnya tujuh ahli kumpulan berkenaan termasuk tiga wanita.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesemua mereka yang berusia antara 31 hingga 43 tahun ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bharu pada 7 Mac hingga 12 April lalu.

Menurutnya, polis menubuhkan pasukan khas dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah selepas menerima laporan mengenai beberapa kejadian pecah rumah, ceroboh dan melarikan kenderaan pada 6 dan 7 Mac lalu membabitkan kerugian RM245,100.

Katanya, siasatan awal mendapati kumpulan itu dipercayai bergerak aktif sejak awal tahun ini dan perancang utama dikenali sebagai Adib berusia 32 tahun.

"Modus operandi mereka dengan cara menyewa kenderaan di kawasan Johor Bahru dan akan pergi ke daerah atau negeri berdekatan untuk melakukan jenayah.

"Suspek turut menyasarkan rumah yang tidak berpenghuni dan akan masuk dengan cara mengumpil tingkap atau pintu sliding," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, kesemua mereka mempunyai peranan tersendiri termasuk sebagai pemandu, tukang umpil, jual barangan hasil samun serta memerhati kawasan sekeliling.

Ujar beliau, hasil daripada serbuan itu polis turut merampas tiga buah kenderaan iaitu Toyota Harrier, Volkswagen Passat dan Perodua Myvi, beberapa beg tangan selain peralatan disyaki digunakan untuk pecah rumah.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan turut mendapati hasil daripada aktiviti jenayah dilakukan mereka menggunakan untuk membeli dadah.

"Semakan lanjut yang dilakukan, lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah, curi kenderaan dan dadah," katanya.

Kesemua mereka kini direman dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 457/379A Kanun Keseksaan.