SPRM tahan pengurus syarikat cuba sogok pegawai penguat kuasa

Azmi
Azmi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Batu Pahat telah menahan seorang individu bagi membantu siasatan kerana disyaki cuba menyogok pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berjumlah RM1,500.

Menurut sumber, suspek lelaki yang berusia 39 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 4.30 petang pada Selasa selepas hadir memberikan keterangan.

Difahamkan, lelaki tersebut yang juga pengurus sebuah syarikat telah cuba memberi rasuah kepada pegawai penguat kuasa PBT terbabit sebagai dorongan untuk tidak menutup operasi syarikat milik keluarganya selepas diberikan notis arahan memberhentikan perniagaan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.20 petang pada Selasa, ketika suspek hadir di pejabat PBT terbabit bagi membuat rayuan selepas menerima notis berkenaan pada Isnin kerana tidak memiliki lesen perniagaan yang melanggar Seksyen 109, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009.

Suspek kemudiannya dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Artikel Berkaitan: