Aksi 'wheelie' ekstrem: 3 remaja bakal jadi individu pertama didakwa di Kelantan

Mohd Misuari (dua,kanan) menyoal siasat remaja yang ditahan semasa Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Misuari (dua,kanan) menyoal siasat remaja yang ditahan semasa Operasi Khas Motosikal di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Khamis. - Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU – Tiga remaja lelaki berusia 14 tahun yang dikesan melakukan aksi 'wheelie' dan perlumbaan motosikal secara ekstrem di kawasan Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, bakal berdepan pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987).

Ketiga-tiga mereka merupakan individu pertama di Kelantan yang akan dituduh di bawah seksyen tersebut selepas dikenal pasti sebagai penunggang paling agresif berdasarkan rakaman risikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri ketika Operasi Khas Motosikal yang diadakan dari jam 5 hingga 7 petang pada Khamis.

Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, tindakan terhadap tiga individu terbabit merupakan pendekatan baharu penguatkuasaan susulan pindaan APJ 1987 yang berkuat kuasa pada 16 Oktober lalu.

Menurut beliau, Seksyen 42A diperkenalkan khusus bagi menangani perbuatan berlumba dan menguji kelajuan menggunakan motosikal tanpa perlu menunggu sehingga berlaku kemalangan, kecederaan atau kehilangan nyawa.

"Kita kenal pasti tiga individu ini kerana aksi mereka paling ekstrem dan agresif, termasuk melakukan 'wheelie'.

"Berdasarkan rakaman risikan, mereka menepati ciri-ciri untuk dikenakan tindakan di bawah seksyen berkenaan dan bukti rakaman itu juga akan digunakan di mahkamah," katanya pada sidang akhbar di Pejabat JPJ Kelantan, di sini, pada Khamis.

Menurut beliau, operasi tersebut turut menyaksikan 25 buah motosikal dibawa ke JPJ negeri untuk pemeriksaan lanjut.

Tambahnya, pemeriksaan terhadap 25 motosikal itu membawa kepada 100 tindakan penguatkuasaan atas pelbagai kesalahan, termasuk ketidakpatuhan dokumen dan pengubahsuaian teknikal.

"Daripada jumlah itu, kita mengenal pasti tiga kes di bawah Seksyen 42A, manakala motosikal yang dibawa pulang turut diperiksa bagi mengesan kesalahan lain.

"Hasil maklumat awal, golongan yang terlibat dalam aktiviti ini berusia antara 12 hingga 18 tahun," katanya.

Mohd Misuari berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang menjadi tumpuan kegiatan perlumbaan haram dan aktiviti berkenaan dipercayai masih berterusan walaupun operasi penguatkuasaan pernah dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, kegiatan itu lazimnya bermula pada Rabu dan Khamis sebelum menjadi lebih rancak menjelang hujung minggu.

"Kita ada risikan dan menerima maklumat daripada orang awam, termasuk gambar aksi 'wheelie', perlumbaan serta perkumpulan remaja di beberapa lokasi.

"Mereka mungkin menyangka kita sudah kurang melakukan pemantauan, tetapi risikan sentiasa berjalan," katanya.

Mengulas mengenai hukuman, beliau berkata, sabitan pertama di bawah Seksyen 42A memperuntukkan denda RM2,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, bagi sabitan kedua atau seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak, khususnya remaja bawah umur yang menggunakan motosikal tanpa lesen.

"Tanggungjawab itu bermula dari rumah. Ibu bapa perlu tahu pergerakan anak dan tidak sepatutnya membenarkan mereka yang masih bawah umur menunggang motosikal tanpa lesen.

"Lesen bukan sekadar kebenaran berada di jalan raya, sebaliknya turut melibatkan pendidikan dan latihan mengenai undang-undang serta keselamatan jalan raya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!