179,451 pekerja asing mula memasuki negara hujung April

Sejumlah 179,451 pekerja asing dijangka mula memasuki negara ini secara berperingkat mulai hujung April termasuk dari sektor pembinaan, Gambar hiasan
Sejumlah 179,451 pekerja asing dijangka mula memasuki negara ini secara berperingkat mulai hujung April termasuk dari sektor pembinaan, Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR- Sejumlah 179,451 pekerja asing dijangka mula memasuki negara ini secara berperingkat mulai hujung bulan ini, membabitkan lima sektor iaitu pembinaan, pertanian, perladangan, perkhidmatan dan pembuatan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 24,560 daripada 179,451 permohonan telah diproses dan dijangka selesai melalui proses temu duga, sebelum diluluskan menjelang 27 April ini.

Menurutnya, bagi fasa kedua, sebanyak 154,891 permohonan pekerja asing dijangka akan diluluskan dalam tempoh enam minggu lagi.

“Kita telah menerima 519,937 permohonan pekerja warga asing sehingga 7 April. Daripada jumlah itu, lebih daripada 50 peratus atau 290,939 permohonan pekerja warga asing masih belum dihantar 2,578 majikan yang memohon.

Saravanan (kanan) ketika sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, Kuala Lumpur pada Selasa.
Saravanan (kanan) ketika sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, Kuala Lumpur pada Selasa.

“Daripada semua permohonan yang kami terima, kira-kira 40,000 terpaksa ditolak sebab tidak mengikut kaedah ditetapkan seperti permohonan tidak lengkap, tidak layak dan membabitkan sektor yang dibekukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berkaitan penggajian pekerja asing yang diadakan di Wisma HRD Corp, di sini pada Selasa.

Kementerian Sumber manusia telah membuka permohonan pekerja asing bermula 15 Februari dan majikan perlu membuat permohonan pekerja asing secara dalam talian menerusi www.fwcms.com.my dan sebarang permohonan secara manual tidak akan diterima.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, beberapa sektor masih dibekukan seperti sektor tekstil, kedai emas, besi buruk dan tukang gunting rambut.

“Malaysia kerugian hampir RM20 bilion sepanjang tempoh pandemik kerana penutupan sempadan, bagi sektor yang bergantung kepada pekerja asing kerana kekurangan tenaga kerja,” jelasnya.