Lans Koperal didakwa minta suapan RM10,000

Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Selasa.
Tertuduh (kiri) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa atas tiga pertuduhan rasuah bagi menutup kes jenayah melibatkan kesalahan rogol pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Norazmi Afiq Mohd Solleh, 27, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang bertugas sebagai Lans Koperal di Balai Polis Daerah Dungun menerima wang tunai sebanyak RM2,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas lelaki berkenaan atas kesalahan jenayah rogol.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan berhampiran kawasan parkir kenderaan di Dungun jam 3.15 petang pada 30 Mei 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa menerima suapan RM2,000 daripada seorang lelaki bagi tujuan yang sama di tapak pasar malam di Dungun jam 9.40 malam pada 23 Mei tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Mengikut pertuduhan ketiga, tertuduh secara rasuah meminta suapan RM10,000 daripada dua lelaki sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan jenayah rogol yang dilakukan lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam daerah Dungun pada 19 Mei 2021.

Dengan itu, tertuduh didakwa dibawah Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najmi Adila Mat Nasir.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 17 Mei 2022 sebagai tarikh sebutan semula kes.