Bomba Kelantan wujudkan 'fire post' pertama di bazar Ramadan

Zainal (tengah) menyerahkan alat pemadam api kepada Wan Nora (kanan) untuk kegunaan pihak pengurusan bazar di waktu kecemasan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.
Zainal (tengah) menyerahkan alat pemadam api kepada Wan Nora (kanan) untuk kegunaan pihak pengurusan bazar di waktu kecemasan di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengambil inisiatif menempatkan pos kawalan atau fire post yang pertama di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Isnin.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin berkata, langkah keselamatan itu diambil dengan mengambil kira jumlah pengunjung yang ramai mencecah 3,000 orang setiap hari.

“Bazar mempunyai lebih 100 gerai dan dikendalikan oleh 90 peniaga makanan yang pelbagai.

“Ada yang memasak atau membakar daging, lemak lembu, sotong dan ikan di bazar. Jadi, ada keperluan fire post, malah amat penting untuk mewujudkannya di lokasi ini,” katanya kepada pemberita pada Program Keselamatan Kebakaran di Bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan, Wan Nora Wan Ahmad.

Zainal mengulas, peniaga turut diberi penerangan dan pendedahan langkah keselamatan kebakaran menerusi risalah keselamatan yang diedarkan.

“JBPM juga turun padang bagi menyerahkan dua unit alat pemadam api kepada FAMA sebagai pihak pengurusan tapak bazar untuk digunakan di waktu kecemasan.

Fire post ini sebagai langkah awal yang boleh diambil untuk memadam kebakaran sebelum ketibaan pihak bomba walaupun kedudukan bazar hanya lima minit dari balai bomba Darul Naim dan balai Kota Bharu sekiranya terjadi kebakaran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setakat ini belum ada kejadian kebakaran yang berlaku di bazar Ramadan, namun tahap keselamatan peniaga dan pengunjung tetap menjadi keutamaan.

“Dalam aspek keselamatan tidak boleh terleka dan sentiasa perlu berhati-hati dengan penggunaan perkakas dapur seperti gas atau periuk elektrik.

“Ditambah dengan cuaca panas terik dan berangin yang boleh menyebabkan kebakaran jadi semakin teruk,” katanya.