Dua banduan berjaya ditahan lari daripada Penjara Jelebu

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

JELEBU - [DIKEMAS KINI] Seorang lagi banduan yang menjalani tahanan reman di Penjara Jelebu yang melarikan diri pada Ahad berjaya ditahan di Kampung Petasih Tengah, Pertang awal pagi Isnin.

Ketua Polis daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, banduan tersebut Mohd Zairizan Zainal, 42 tahun di tahan pada jam 5.15 pagi dengan bantuan orang kampung selepas cuba melarikan sebuah kereta Proton Waja milik penduduk di situ.

"Permohonan reman terhadap lelaki berkenaan yang dalam proses perbicaraan bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu akan dilakukan pada Selasa di Mahkamah Majistret Bahau.

"Dengan itu, dua tangkapan telah berjaya dibuat di kawasan berbeza setakat ini. Tangkapan pertama telah dibawa ke mahkamah sama untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan reman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu pada Isnin.

Dalam pada itu, Maslan berkata, pihak polis telah mendirikan empat sekatan jalan raya dalam kawasan pentadbiran IPD Jelebu dan tiga sekatan jalan raya di sempadan daerah Jelebu iaitu di Nilai,Kuala Pilah dan Jempol bagi mengesan lima lagi banduan yang lolos.

"Operasi mengesan dan menangkap banduan reman tersebut turut dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontijen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

"Lima banduan yang juga dalam proses perbicaraan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 tersebut dipercayai sudah menukar pakaian masing-masing sebaik berjaya melarikan diri dari penjara tersebut dan fizikal badan yang kurus. Mereka juga disyaki berjalan kaki selain menyorok di kawasan pinggir kampung.

"Tumpuan pencarian kesemua banduan itu dilakukan di sekitar kawasan Pertang dan pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya di balai polis berhampiran atau huhungi IPD Jelebu di talian 06-6136222 atau pegawai penyiasat Inspektor Zuria Anis Mahassan 016-6096996," katanya.

Artikel Berkaitan:

Maslan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung tujuh banduan reman di Penjara Jelebu melarikan diri kira-kira jam 3 petang.

Katanya, siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu yang mana kesemua banduan reman tersebut ditempatkan.

"Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling dan keluar melalui lubang pagar di tepi Blok Muhasabah 2 yang disyaki telah dipotong menggunakan pemotong besi. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 6 pagi Ahad," katanya.

Media sebelum ini melaporkan,sehingga jam 7 malam Ahad, seorang banduan, Sohaimi Khalid, 50, berjaya ditangkap semula di sebuah kebun sawit di Kongkoi, kira-kira dua kilometer dari Penjara Jelebu.

Enam lagi banduan yang dalam buruan ialah Mazlan Samah, 39, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, Shazuan Md Sharif, 32, Mohd Zairizan Zainal, 42, Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dan seorang warga asing, Zainuddin berusia 62.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan.