Polis buru enam banduan lolos Penjara Jelebu

Polis sedang menjejaki enam banduan dari Penjara Jelebu yang melarikan diri pada Ahad.
Polis sedang menjejaki enam banduan dari Penjara Jelebu yang melarikan diri pada Ahad.
A
A
A

JELEBU - [DIKEMAS KINI] Polis sedang memburu enam daripada tujuh banduan dari Penjara Jelebu yang melarikan diri pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superitendan Maslan Udin berkata, polis menerima maklumat kejadian jam 3 petang dah operasi mengesan banduan tersebut dilancarkan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan Penjara Jelebu.

"Banduan berkenaan ialah Mazlan Samah, 39, dengan menggunakan alamat terakhir di Lubok Cina, Melaka; Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28, beralamat di Taman Desa Rhu, Sikamat di Seremban; Shazuan Md Sharif, 32, beralamat di Felda Pasoh 1, Simpang Pertang, Jelebu.

"Selain itu, Zainuddin beralamat di Danau Kota Setapak, Prima Kuala Lumpur; Mohd Zairizan Zainal, 42, beralamat di Desa Mesra Perdana, Felcra Bukit Sedana, Selandar, Melaka dan Muhammad Syafiq Rohmat, 32, beralamat di Felda Pasoh 2, Batu Kikir, Jempol," katanya dalam satu kenyataan kepada media pada Ahad.

Menurutnya, seorang daripada banduan itu telah berjaya ditangkap jam 7 petang Ahad di kawasan kebun sawit, Kongkoi di sini iaitu dua kilometer dari Penjara Jelebu.

Ujarnya, kesemua banduan berkenaan ialah tahanan reman mahkamah di Penjara Jelebu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana kecuaian membiarkan seseorang lari dari pengurungan dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja lari atau mencuba lari dari mana-mana jagaan di mana dia ditahan dengan sah di sisi undang-undang bagi apa-apa kesalahan," katanya.

Sehubungan itu katanya, masyarakat yang mempunyai maklumat diharap dapat menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis yang berhampiran.

Artikel Berkaitan: