Geng curi kenderaan lama tumpas

Fisol (tiga dari kanan) melihat kenderaan yang dirampas daripada ahli sindiket curi kenderaan.
Fisol (tiga dari kanan) melihat kenderaan yang dirampas daripada ahli sindiket curi kenderaan.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis menahan sembilan lelaki warga tempatan yang merupakan ahli sindiket curi kenderaan lama di beberapa lokasi antara 2 hingga 9 April lalu.

Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 31 hingga 40 tahun, berasal dari Kedah dan kebanyakkannya bekerja sebagai mekanik.

Polis turut merampas 11 kenderaan dan sebuah enjin bernilai RM150,000 dalam Op Lejang Mutiara itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, dalam tangkapan pertama, polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) telah menahan dua lelaki di susur keluar Kubang Semang, Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE) pada jam 6 petang, 2 April lalu.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, lima lagi lelaki berjaya ditahan di beberapa rumah di Bedong, Kedah pada jam 2 petang, 7 April lalu.

"Kesemua rumah tersebut merupakan rumah sewa. Ketika pemeriksaan dilakukan, kita menemui dua pucuk pistol tiruan dan gari di salah sebuah rumah berkenaan.

"Dalam serbuan di Kuala Ketil, Kedah, kita telah menahan dua lagi lelaki dan merampas tiga lori; tiga kereta iaitu Proton Waja, Proton Saga dan Nissan Xtrail, lima motosikal serta sebuah enjin.

"Semakan mendapati, kesemua kenderaan itu dilaporkan hilang pada tahun lepas di negeri ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis turut merampas tujuh telefon bimbit pelbagai jenama dan enam rangkai kunci pelbagai jenis kenderaan.

Selain kenderaan, polis turut merampas enjin kenderaan dalam penahanan sembilan suspek tersebut.
Selain kenderaan, polis turut merampas enjin kenderaan dalam penahanan sembilan suspek tersebut.

"Hasil penahanan ini, kita berjaya menyelesaikan 18 kes curi kenderaan lama yang mana 13 kes berlaku di sekitar Pulau Pinang dan selebihnya di Kedah serta Perak," katanya.

Fisol berkata, modus operandi kumpulan tersebut adalah mencuri kenderaan lama dengan cara menggunakan peralatan ‘master key’.

"Kenderaan dicuri akan diberikan kepada ahli kumpulan yang bekerja sebagai mekanik untuk dileraikan serta dicanaikan nombor casis.

"Kumpulan ini aktif sejak Januari tahun ini dan menyasarkan kereta lama untuk diambil alat ganti kenderaan," katanya.

Katanya lagi, ujian saringan air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis syabu.

"Semakan rekod jenayah mendapati, kesemua individumempunyai dua hingga 12 rekod dadah dan jenayah lampau.

"Kita sedang mengesan seorang lagi ahli kumpulan itu dikenali sebagai M Sanjev, 26, untuk siasatan lanjut. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu boleh menghubungi Sarjan Maxweel Gibson di talian 0148788361," katanya.

Kes disiasat mengikut 379A (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor.

Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan hendaklah juga dikenakan denda.