AGC terima representasi Serba Dinamik, pengarah, pegawai kanan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi daripada syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan minyak dan gas bersepadu Serba Dinamik Holdings Berhad, dua pengarah dan dua pegawai kanannya yang didakwa mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia Securities Berhad.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti, Hashley Tajudin pada prosiding sebutan kes itu di empat Mahkamah Sesyen iaitu di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, Hakim Kamarudin Kamsun, Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin dan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

"Satu representasi diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Mac lepas dan ia diterima pada 7 April dengan syarat beberapa perkara yang perlu dilaksanakan. Kami mohon satu tarikh sebutan untuk maklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan representasi tersebut.

"Setakat ini pihak pendakwaan telah menyerahkan 90 peratus dokumen (berkenaan perbicaraan) kepada pihak pembelaan pada 7 April lepas,” katanya.

Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Serba Dinamik dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO Kumpulan) Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, peguam Dylan Yeap mewakili Pengawal Kewangan Kumpulan, Azhan Azmi dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas. Datuk Syed Nazim Syed Faisal, mengesahkan mengenai representasi tersebut.

Turut mengesahkan mengenai representasi itu ialah peguam Harvinder Singh Sidhu mewakili Timbalan Presiden Akaun dan Kewangan, Muhammad Hafiz Othman.

Kesemua mahkamah menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan semula bagi kesemua kes.

Hashley ketika ditemui pemberita selepas prosiding enggan mendedahkan butiran mengenai representasi tersebut.

Artikel Berkaitan:

Serba Dinamik, Mohd Abdul Karim yang juga Pengarah Urusan Serba Dinamik, Syed Nazim, Azhan Azmi dan Muhammad Hafiz, masing-masing didakwa dengan niat untuk menipu telah mengemukakan pernyataan palsu kepada Bursa Malaysia berhubung hal ehwal Serba Dinamik yang terkandung dalam laporan suku tahunan syarikat bagi suku kewangan berakhir 31 Dis 2020.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Bursa Malaysia Securities Berhad, Bukit Kewangan, di sini pada 26 Februari lepas mengikut Seksyen 369(a)(B) dibaca bersama Seksyen 367(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 369 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3 juta, jika sabit kesalahan. - Bernama