Sila log masuk terlebih dahulu.

Lans Koperal wanita dituduh miliki air ketum

Tertuduh, Lans Koperal Raja Rozalia (empat dari kanan) bersama empat rakannya dikawal polis menuju ke bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu.
Tertuduh, Lans Koperal Raja Rozalia (empat dari kanan) bersama empat rakannya dikawal polis menuju ke bilik Mahkamah Majistret Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal bersama empat rakannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin atas dua pertuduhan memiliki air ketum.

Ibu tunggal dua anak terbabit, Raja Rozalia Fadila Raja Mamat, 30, didakwa bersama rakan-rakannya iaitu Muhammad Faries Aizat Ruslan, 23, pekerja kedai kosmetik; Anis Nagiehah Muhammad Anggelan, 27, berniaga dalam talian; Bidah Napi, 30, jurujual dalam talian dan Wan Muhammad Alif Wan Suphrach @ Wan Yussoff, 20, yang bekerja sendiri.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Mereka didakwa secara bersama-sama memiliki 1.5 liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian, di sini, pada jam 3.25 pagi, 7 April lalu.

Pada pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki satu liter cecair yang mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di sebuah rumah pada masa, tarikh dan di lokasi sama.

Sementara itu, Wan Muhammad Alif turut berdepan pertuduhan secara berasingan memiliki satu liter cecair mengandungi racun jenis mytragynine tanpa sebarang kuasa atau kebenaran di tempat letak kereta di belakang berek polis Kubang Kerian di sini, pada masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh tersebut juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 30 (5) akta yang sama dan dibacakan mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum denda maksimum RM 10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nursyafiqah Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Nor Nadhirah Ismail.

Sebelumnya, Nursyafiqa mencadangkan jaminan berjumlah RM 8,000 bagi kesemua tertuduh kecuali Wan Muhammad Alif sebanyak RM 14,000.

Intan Nor Nadhirah mengemukakan rayuan terhadap semua anak guamnya agar jumlah jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan Wan Muhammad Alif diikat jamin RM 7,500 dengan dua penjamin manakala yang lain RM 4,500 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan sebutan semula pada 13 Jun depan untuk serahan dokumen.