Kilang ubi vitato terbiar akan dipulihkan semula

Dr Azman (kiri) meninjau kilang tepung ubi vitato Kampung Pengkalan Kubor, Tembila, Besut yang dibina pada 2012 tapi masih belum beroperasi.
Dr Azman (kiri) meninjau kilang tepung ubi vitato Kampung Pengkalan Kubor, Tembila, Besut yang dibina pada 2012 tapi masih belum beroperasi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri sedang berusaha memulihkan kilang tepung ubi vitato bernilai RM4.8 juta di Kampung Pengkalan Kubor, Tembila, Besut yang sudah terbiar sejak sekian lama.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kilang yang dibina pada tahun 2012 itu belum mampu menghasilkan tepung ubi berikutan masalah kos.

“Kilang ini tidak ekonomi buat tepung ubi kerana untuk hasilkan satu kilogram (kg) tepung ubi, kita perlukan lebih enam kg ubi. Harga ubi RM1.50 kg, buat satu kg tepung ubi kos sudah cecah RM9, jadi berapa kita mahu jual tepung,” katanya di sini pada Isnin.

Menurut Dr Azman, kerajaan sedar kekangan yang terpaksa dihadapi dalam menyelesaikan isu itu namun kajian mendalam tetap dilakukan bagi memastikan kilang berkenaan dapat beroperasi dan memberi mafaat kepada rakyat.

Beliau berkata, pelan pemulihan lebih teliti mengambil kira semua faktor kegagalan dan peluang yang ada telah digerakkan melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Pertubuhan Peladang, Mardi, Jabatan Pertanian dan IADA Ketara.

“Jika tidak mampu buat tepung, kita mungkin akan hasilkan jejari atau kerepek ubi. Apa pun pelan pemulihan masih berjalan dengan penyelarasan bertindak daripada kerajaan negeri,” katanya.

Jelas Dr Azman, selain kilang ubi vitato, kerajaan juga sedang berusaha memulihkan sebuah lagi projek ‘sakit’ iaitu pusat pembenihan ikan marin di Kampung Rhu 10, Setiu yang tidak mampu memberi hasil sebagaimana diharapkan.

Kata beliau, sejak tahun tahun 2018, empat projek yang tidak mencapai objektif berjaya dipulihkan semula dan kini menyumbang kepada ekonomi rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Projek itu adalah Rimbunan Kaseh Rantau Abang, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM) Tok Dor, ladang kelapa mataq Kubang Puyu dan reban ayam Bukit Lawang,” katanya.