Mohon kerajaan pertimbang beri subsidi diesel untuk pengusaha feri

Hanya dua perjalanan Langkawi-Kuala Perlis dan dua lagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah pada Ramadan. - Foto Ferry Line Ventures (Gambar kecil: Baharin)
Hanya dua perjalanan Langkawi-Kuala Perlis dan dua lagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah pada Ramadan. - Foto Ferry Line Ventures (Gambar kecil: Baharin)
A
A
A

ALOR SETAR - Konsortium Ferry Line Ventures Sdn Bhd memohon kerajaan menimbang pemberian subsidi diesel kepada pengusaha feri bagi meringankan bebanan ditanggung mereka.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Baharin Baharom berkata, pengusaha feri sekarang dibebani kos operasi meningkat disebabkan harga diesel industri meningkat mendadak.

Beliau berkata, konflik di Eropah Timur sekarang telah menyebabkan harga diesel industri di Malaysia meningkat hampir dua kali ganda yang memberi kesan ketara kepada kos operasi feri Langkawi.

"Pada Disember 2021, harga minyak diesel adalah RM2.44 seliter sebelum naik sebanyak empat kali tahun ini hingga kini mencecah RM4.30 seliter.

"Lebih memburukkan keadaan, jumlah penumpang keluar masuk ke Langkawi menggunakan perkhidmatan feri telah turun lebih 50 peratus berbanding jumlah keseluruhan penumpang sebelum pandemik Covid-19 pada 2019," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, Baharin memberitahu, bilangan penumpang juga makin berkurangan terutamanya ketika bulan Ramadan menyebabkan pengusaha feri terpaksa menanggung kerugian besar.

“Sebelum ini, minima penumpang pergi balik 200 orang sudah boleh menampung kos minyak pergi balik namun konsortium menanggung kerugian hampir RM4,000 bagi setiap trip perjalanan apabila harga diesel industri melonjak RM4.50 seliter.

“Sebagai contoh kos minyak diesel industri ketika ini RM4.50 menyebabkan kos ulang alik Langkawi-Kuala Perlis adalah RM5,400 dan Langkawi-Kuala Kedah RM8,100 iaitu memerlukan jumlah penumpang sekurang-kurangnya satu trip adalah 400 orang pergi dan balik.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Baharin menjelaskan, hanya dua perjalanan Langkawi- Kuala Perlis dan dua lagi perjalanan Langkawi-Kuala Kedah dengan jumlah penumpang pergi balik di bawah 400 orang sempena Ramadan ini.

“Jadi, secara asasnya konsortium mengalami kerugian sehari RM16,000 ketika ini,” katanya.

Katanya, disebabkan itu, perkhidmatan feri diminimakan bagi mengelakkan pengusaha feri Langkawi terus menanggung kerugian berikutan kesan daripada permintaan penumpang yang turun mendadak.

"Antara lain, kerugian ini dipercayai disebabkan kadar tambang feri di Langkawi ketika ini antara terendah dalam negara iaitu RM18 untuk trip Langkawi-Kuala Perlis dan RM23 bagi trip Langkawi-Kuala Kedah berbanding beberapa laluan lain seperti Kuala Terengganu-Pulau Redang iaitu RM55," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, konsortium memohon campur tangan kerajaan untuk melakukan sesuatu bagi mengatasi masalah ini, sekali gus membantu pengusaha feri di Langkawi ketika ini.

“Sebagai contohnya, kerajaan mungkin boleh ambil model Labuan iaitu memberi subsidi diesel kepada pengusaha feri Langkawi disebabkan pengangkutan feri Langkawi merupakan perkhidmatan perlu,” katanya.