Tidak setuju MBKM di platform digital Dropee Bookuku

PKBM, MBA dan PPPABM membantah penglibatan MBKM dalam platform digital Dropee Bookuku.
PKBM, MBA dan PPPABM membantah penglibatan MBKM dalam platform digital Dropee Bookuku.
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga wakil pengendali perniagaan perdagangan buku dan alat tulis membantah penglibatan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) dalam platform digital Dropee Bookuku.

Menerusi kenyataan bersama Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) dan Persekutuan Pertubuhan Penjual Alatulis dan Buku Malaysia (PPPABM), penglibatan MBKM disifatkan sebagai salah guna kuasa dan menekan pasaran saingan bebas dan terbuka sedia ada.

"Ahli kami terdiri daripada penjual buku, pengedar pelbagai kaum di semua negeri dengan lebih 700 yang aktif. Terdapat juga beberapa ribu bukan ahli yang turut membekalkan buku dan alat tulis kepada sekolah dan jabatan kerajaan.

"Sememangnya industri ini menghadapi banyak cabaran dalam tempoh pandemik Covid-19 dan kami mengalu-alukan sebarang idea untuk membantu meningkatkan perniagaan.

"MBKM tidak membantu tetapi melakukan sebaliknya untuk menjejaskan industri buku. Penglibatannya sebagai agensi kerajaan bagi pihak Dropee dikecam sekeras-kerasnya," menurut kenyataan itu pada Sabtu.

Dalam pada itu ketiga-tiga persatuan tersebut menegaskan, MBKM yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan tidak boleh terlibat dalam platform digital Dropee milik syarikat swasta.

"Kementerian Kewangan juga tidak boleh bersetuju dengan cadangan pesanan pembelian digital oleh MBKM kerana bertentangan dengan dasar kerajaan," katanya.

Mereka turut berpendirian, MBKM perlu kembali kepada objektif asal penubuhan seperti UNESCO 1968 dalam membantu mewujudkan tabiat membaca.

Sementara itu ketiga-tiga presiden persatuan berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghantar memorandum dan meminta campur tangan beliau menghentikan penglibatan MBKM dalam platform tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Penjualan buku pasaran percuma perlu diutamakan bagi mengekalkan ekosistem buku Malaysia. Sebarang gangguan langsung terhadap ekosistem buku akan mengakibatkan kesan negatif terhadap ekonomi secara keseluruhan.

"Kami juga mahu penjelasan MBKM mengenai caj sehingga 20 peratus kos operasi. Shopee yang menjadi rakan kongsi menganjurkan pesta buku Antarabangsa Kuala Lumpur hanya mengenakan caj 2.5 peratus," katanya.